Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kerja dari rumah: AMK seru sektor swasta contohi dasar kerajaan
Diterbitkan:  Mar 17, 2026 10:14 AM
Dikemaskini: 6:32 AM

Pemuda PKR (AMK) menegaskan negara perlu inovatif dalam budaya kerja dan mengamalkan disiplin fiskal tinggi untuk kekal berdaya saing ketika dunia dilanda krisis geopolitik Asia Barat.

Ketua AMK, Muhammad Kamil Abdul Munim, mengulas kenyataan Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) yang mendakwa dasar Kerja Dari Rumah (WFH) tidak sesuai dalam konteks tenaga kerja negar

"Kami berpandangan bahawa hujah ini bersifat regresif dan tidak berpijak di bumi yang nyata.

"Pengalaman kita ketika mendepani fasa pemulihan Covid-19 telah membuktikan bahawa fleksibiliti di tempat kerja bukanlah satu penghalang, sebaliknya pemangkin kepada produktiviti.

"Melalui model kerja fleksibel, kita mampu mencapai keseimbangan kerja-kehidupan yang lebih baik sambil mengurangkan kos operasi (OPEX) syarikat dan beban perbelanjaan harian rakyat, terutamanya kos petrol dan pengangkutan," katanya dalam kenyataan.

Kamil berkata, dalam situasi harga minyak dunia yang tidak menentu sekarang, WFH adalah instrumen strategik untuk mengurangkan tekanan subsidi bahan api negara.

Jelasnya, ia bukan lagi satu eksperimen, tetapi satu amalan global yang terbukti efisien.

Justeru pihaknya mendesak agar sektor swasta berhenti bersikap skeptikal dan mula melihat potensi jangka panjang dalam ekonomi digital dan hibrid saat ini.

“Malah, Malaysia tidak bersendirian dalam anjakan strategik ini. Di Eropah, menteri-menteri dan pegawai kerajaan sekali lagi menggesa rakyat untuk "mengelak kesesakan dan bekerja secara jarak jauh bagi menjimatkan penggunaan gas, malah menyamai dasar yang pernah diambil ketika krisis tenaga Rusia-Ukraine pada 2022.

“Di rantau Asia Tenggara, kerajaan Vietnam, Filipina, dan Thailand turut mengeluarkan panduan rasmi yang meletakkan WFH sebagai langkah segera mendepani kemelut ini,” katanya.

Malah Kamil berkata, Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr turut mengarahkan agensi kerajaan mengamalkan WFH dan minggu kerja pendek bagi mengurangkan penggunaan tenaga sektor awam sehingga 20 peratus.

“Jelas sekali, fleksibiliti tempat kerja kini diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai mekanisme pertahanan ekonomi yang efektif dalam menghadapi ketidaktentuan harga minyak dunia," tegasnya.

Mengulas pengumuman Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, baru-baru ini, Kamil berkata langkah kerajaan membatalkan majlis Rumah Terbuka Aidilfitri agensi kerajaan dan mengurangkan lawatan menteri ke luar negara adalah manifestasi konsep “Pain Sharing” (berkongsi beban).

Dia menegaskan, tindakan itu menunjukkan kepimpinan negara memilih untuk memotong perbelanjaan keraian demi memastikan keselamatan ekonomi rakyat dan kestabilan harga barang di pasaran domestik terjamin.

"Dalam konteks yang sama, AMK menyeru pihak majikan dan sektor swasta untuk ikut serta dalam semangat nasionalisme ekonomi yang amat diperlukan saat ini. Usah kita terus terperuk dengan sikap lama tanpa kesediaan untuk berubah ke arah model operasi yang berani dan mampan.

Justeru AMK menggesa majikan melaksanakan dasar WFH secara bersasar bagi tugasan yang tidak memerlukan kehadiran fizikal secara konsisten dan mengutamakan kebajikan pekerja dengan memberikan fleksibiliti untuk membantu mereka mengurus kos sara hidup di kawasan bandar.

“Usah kita terus terperuk dengan sikap lama tanpa kesediaan untuk berubah ke arah model operasi yang berani dan mampan.

“Majikan mesti ditegaskan bahawa kelangsungan ekonomi negara adalah tanggungjawab kolektif setiap segmen dan lapisan masyarakat. AMK akan terus teguh mendukung langkah proaktif kerajaan untuk memastikan Malaysia kekal kental (resilient) dalam mendepani apa jua cabaran global,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS