Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Wong Chen kecewa MB Selangor ‘bisu’ isu Hutan Simpan Ayer Hitam
Diterbitkan:  Mar 17, 2026 10:23 AM
Dikemaskini: 2:23 AM

Ahli Parlimen Subang, Wong Chen meluahkan rasa kesal terhadap kerajaan negeri Selangor yang didakwa gagal memberikan sebarang maklum balas berhubung isu pembangunan berhampiran Hutan Simpan Ayer Hitam, meskipun surat tuntutan penjelasan telah dihantar sejak tiga bulan lalu.

Berikutan tindakan mendiamkan diri itu, dia menghantar surat susulan ketiga semalam kepada pejabat Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari bagi menuntut ketelusan berhubung status tanah berkenaan.

Wong menjelaskan bahawa rentetan surat pertama telah dihantar pada 16 Disember tahun lalu, diikuti surat kedua pada 6 Januari 2026, namun kedua-duanya tidak dijawab.

"Surat susulan semalam yang bertarikh 16 Mac 2026, genap tiga bulan dari tarikh surat pertama dihantar.

“Kami masih belum menerima sebarang kemas kini daripada kerajaan negeri," katanya menerusi satu hantaran di Facebook yang turut memuat naik dokumen berkaitan.

Isu ini melibatkan kawasan seluas 169 ekar tanah berhampiran hutan simpan di Kinrara.

Sebelum ini, Wong Chen bersama Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung, telah menggesa kerajaan negeri supaya membeli semula keseluruhan tanah tersebut bagi memastikan kelestarian alam sekitar terjaga.

Menurut kedua-dua wakil rakyat PKR itu, kegagalan kerajaan negeri untuk berinteraksi memaksa Pejabat Parlimen Subang mengambil inisiatif sendiri melakukan carian melalui Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC).

"Kami melakukan carian di bawah Kementerian Kewangan untuk menjejak sejarah dan urus niaga tanah tersebut selepas surat-surat kami tidak menerima jawapan," jelas kenyataan bersama itu sebelum ini.

Wong turut menegaskan bahawa keresahan rakyat semakin memuncak apabila jumlah tandatangan bantahan daripada penduduk setempat kini melonjak daripada 3,752 kepada 6,270—iaitu peningkatan sebanyak 67 peratus.

"Ini adalah isu yang membimbangkan. Kerajaan negeri Selangor sewajarnya memberi jawapan kepada rakyat mengenai perkara ini," katanya.

Dia menambah, sekiranya kerajaan negeri mendakwa tidak mempunyai kemampuan kewangan untuk mengambil alih tanah tersebut, pihaknya bersedia membantu meneroka jalan penyelesaian alternatif.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS