Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam setiap operasi penguatkuasaan ialah mengurangkan kadar kemalangan maut, bukannya semata-mata mengeluarkan saman kepada pengguna jalan raya.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata wujud persepsi dalam kalangan segelintir pihak termasuk media yang menganggap kerja hakiki JPJ hanya tertumpu kepada pengeluaran saman, terutamanya menjelang musim perayaan.
“Saya nak tegaskan bahawa tujuan kita (JPJ) bukannya nak keluarkan saman. Tujuan kita ialah untuk memastikan semua orang patuh kepada undang-undang jalan raya.
“KPI kita bukannya keluarkan berapa saman, tetapi KPI kita ialah mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.
“Ini adalah misi dalam Kementerian Pengangkutan dan JPJ,” katanya ketika berucap sempena operasi khas Aidilfitri JPJ Kuala Lumpur di Stesen Penguat Kuasa Gombak hari ini.
Loke menjawab persoalan yang timbul berhubung status operasi dan jumlah saman yang dikeluarkan pada hari pertama Op Aidilfitri 2026 yang bermula semalam.
Menurut Loke, Kementerian Pengangkutan akan melipatgandakan pendekatan persepi akan ditangkap (POBC) melalui rondaan lebih kerap oleh anggota penguat kuasa di kawasan titik panas bagi memberi peringatan kepada pengguna jalan raya bahawa mereka sentiasa dipantau, sekali gus mendorong pemandu lebih berhemah dan berhati-hati.
Selain rondaan fizikal, kata Loke, operasi kali ini turut diperkasa dengan penggunaan teknologi moden bagi memastikan pemantauan yang lebih tepat dan berkesan.
“Antaranya penggunaan enam dron pengawasan trafik, kamera tindakan penguatkuasaan, peranti penguatkuasaan pintar, kamera badan pegawai serta kamera papan pemuka (dashcam).
“Ia bukan sahaja memudahkan urusan malah memastikan pemantauan yang lebih luas dan tepat,” katanya.
Operasi bersepadu sempena Aidilfitri melibatkan 3,000 anggota penguat kuasa JPJ yang digerakkan di seluruh negara bermula semalam hingga 29 Mac ini.
Fokus utama diberikan kepada sembilan kesalahan utama termasuk melebihi had laju, melanggar lampu merah, penggunaan telefon bimbit semasa memandu dan memotong di lorong kecemasan.
- Bernama
