Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tunku Aminah pengerusi baru U Mobile
Diterbitkan:  Mar 18, 2026 11:22 AM
Dikemaskini: 3:25 AM

Puteri kedua Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, Tunku Aminah, dilantik sebagai pengerusi baru U Mobile, menurut pengumuman syarikat itu.

Pelantikan itu dibuat selepas syarikat yang ditubuhkan secara bersama dengan pengasas U Mobile, Vincent Tan, iaitu Mawar Setia Sdn Bhd, menyelesaikan perjanjian pembelian saham dengan ST Telemedia dari Singapura.

"Tuanku (Aminah) membawa pengalaman kepimpinan dan tadbir urus yang berharga, setelah memimpin organisasi swasta merentasi pelbagai industri serta berkhidmat dalam lembaga pengarah beberapa syarikat senarai awam dan swasta," kata U Mobile dalam kenyataan.

U Mobile berkata bahawa Setia kini memiliki lebih 50 peratus pegangan dalam syarikat telekomunikasi tersebut. Pihak syarikat tidak memperincikan peratusan tepat, dan rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) masih belum dikemas kini untuk memaparkan Mawar Setia sebagai pemegang saham.

Bagaimanapun, memetik jurucakap ST Telemedia, portal kewangan The Edge pada 24 Disember melaporkan bahawa Mawar Setia akan memiliki pegangan efektif sebanyak 51 peratus dalam U Mobile sebaik saja perjanjian pembelian saham dimuktamadkan.

Tunku Aminah pada asalnya merupakan pemilik 30 peratus Mawar Setia semasa syarikat itu ditubuhkan, manakala Tan memegang 70 peratus saham. Namun, semakan rekod SSM hari ini menunjukkan Mawar Setia kini dimiliki sepenuhnya oleh Detik Setia Sdn Bhd, yang seterusnya dimiliki oleh beberapa syarikat lain.

Tunku Aminah merupakan pengarah di kedua-dua syarikat Detik Setia dan Mawar Setia.

Sultan Ibrahim kali terakhir dilaporkan memiliki 22.8 peratus pegangan dalam U Mobile. Pengambilalihan U Mobile oleh Tan dan Tunku Aminah menyusul selepas pelantikan U Mobile sebagai pengendali rangkaian 5G kedua Malaysia.

Langkah ini dilihat bertujuan untuk mengurangkan pemilikan asing dalam syarikat telekomunikasi tersebut. Bulan lalu, dilaporkan bahawa Telekom Malaysia bercadang untuk menamatkan aturan akses 5G sedia ada dengan Digital Nasional Bhd (DNB) bagi berpindah ke rangkaian 5G U Mobile.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS