Loh: Anak lelaki saya akan pulang beri keterangan
Ahli perniagaan, Loh Mui Fah, yang mengaku anak lelakinya yang merakamkan klip video Lingan, memberitahu suruhanjaya siasatan diraja hari ini bahawa anaknya itu akan pulang ke Malaysia untuk memberi keterangan.
Sabtu lalu, Loh, 58, memberitahu Malaysiakini bahawa beliau dan anak lelakinya itu, Gwo Burne, 33, yang kini berada di China, dijemput untuk makan malam di rumah peguam Datuk VK Lingam pada hujung tahun 2001.
Beliau juga mengesahkan bahawa anak lelakinya itu secara rahsia merakamkan perbualan telefon Lingam, didakwa dengan bekas Hakim Besar Malaya ketika itu, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim.
Ahli perniagaan, Loh Mui Fah, yang mengaku anak lelakinya yang merakamkan klip video Lingan, memberitahu suruhanjaya siasatan diraja hari ini bahawa anaknya itu akan pulang ke Malaysia untuk memberi keterangan.
Sabtu lalu, Loh, 58, memberitahu Malaysiakini bahawa beliau dan anak lelakinya itu, Gwo Burne, 33, yang kini berada di China, dijemput untuk makan malam di rumah peguam Datuk VK Lingam pada hujung tahun 2001.
Beliau juga mengesahkan bahawa anak lelakinya itu secara rahsia merakamkan perbualan telefon Lingam, didakwa dengan bekas Hakim Besar Malaya ketika itu, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim.
Pagi ini, Loh memberitahu suruhanjaya siasatan diraja itu bahawa anak lelakinya itu bersedia untuk memberi keterangan dan urusan sedang dibuat untuk Gwo Burne pulang ke Malaysia.
Loh, yang diwakili oleh peguam Americk Singh Sidhu, memberitahu suruhanjaya tersebut, walaupun dia dapat melihat anaknya sewaktu perbualan telefon itu, tetapi dia tidak menyedari yang ianya telah dirakam.
Ahli perniagaan itu menambah, beliau hanya melihat klip video itu selepas ianya didedahkan kepada awam.
Dalam keterangannya kepada suruhanjaya tersebut, Loh berkata, klip video itu dirakamkan pada Disember 2001 di rumah Lingam di Kelana Jaya.
Loh ditanya berulangkali mengenai model kamera yang digunakan dan sama ada kamera yang sama digunakan untuk merakam perbualan tersebut dan mengambil gambar-gambar, tetapi beliau tidak dapat mengesahkannya.
Pengerusi suruhanjaya itu, Tan Sri Haidar Mohamad Noor mencadangkan supaya soalan-soalan tersebut dikemukakan kepada anak lelaki Loh apabila beliau memberi keterangan nanti.
Tunjuk gambar
Selain klip video selama 14 minit itu, suruhanjaya siasatan diraja itu juga ditunjukkan beberapa gambar yang diambil oleh Gwo Burne di rumah Lingam pada malam tersebut.
Salah satu gambar tersebut menunjukkan Loh yang bercukur bersih, berada di meja bersama Lingam dan adik perempuan peguam tersebut.
Menurut Loh, anak perempuan Lingam berada di situ selama setengah jam sebelum makan malam untuk berbincang dengan Lingam mengenai urusan perundangan.
Satu lagi gambar - yang menunjukkan Loh, Lingam dan mendiang peguam Manjit Singh - diambil selepas perbualan telefon tersebut pada malam berkenaan.
Loh juga memberitahu bahawa Manjit, yang sampai ke rumah Lingam selepas makan malam, adalah peguamnya dalam kes yang sedang dibincangkannya dengan Lingam.
Loh juga berkata, beliau tidak mengetahui siapakah yang mendedahkan klip video tersebut apabila ditanya oleh peguam Lingam, R Thayalan.
Thayalan:
Kamu kata, bukan kamu yang mendedahkan video tersebut. Kamu tiada siapa (yang berbuat demikian)?
Loh: Tidak.
Thayalan: Mungkinkah anak lelaki kami (yang berbuat demikian)?
Loh: Saya tidak boleh bercakap bagi pihaknya tetapi tidak, saya tidak fikir begitu. Dia sedang berada di luar negara.
Thayalan: Adakah kami bertanya kepadanya?
Loh: Tidak. Saya tidak bertanya kepadanya.
Bahagian lapan minit pertama klip video tersebut telah didedahkan oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 19 September. Anwar mendedahkan baki klip video itu selama enam minit lagi pada 14 Disember, dua hari selepas pengumuman penubuhan suruhanjaya siasatan diraja tersebut.
Anggota lain suruhanjaya tersebut ialah bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Steve Shim; bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mahadev Shankar; bekas Peguamcara Negara, Datuk Zaitun Zawiyah Puteh dan ahli sejarah yang juga Pesuruhjaya Suhakam, Prof Datuk Khoo Kay Kim.
Lingam dikenalpasti
Lingam, individu utama dalam kontroversi tersebut, muncul di hadapan suruhanjaya siasatan diraja hari ini.
Beliau muncul selama dua minit dan beredar kemudiannya, selepas Loh mengenalpastinya sebagai individu yang makan malam bersamanya dan orang yang dilihat dalam video berkenaan.
Transkrip di bawah menunjukkan Ketua Pendakwa Badan Pencegah Rasuah (BPR), Nordin Hassan memastikan indentiti individu dalam klip video berkenaan.
Nordin: Adalah ini orang yang kamu rujuk sebagai Datuk VK Lingam dalam kenyataan kamu sebelum ini?
Loh: Ya.
Nordin: Adakah orang ini yang kamu temui pada 20 Disember 2001 di rumahnya?
Loh: Ya.
Nordin: Adakah ini orang yang bercakap dalam telefon seperti yang ditunjukkan dalam video tersebut?
Loh: Ya.
Loh juga mengesahkan bahawa beliau adalah orang yang dilihat berbual dengan Lingam pada penghujung klip video tersebut, selepas selesai perbualan telefon berkenaan.
Loh dilihat bertanya siapakah pemanggilnya, dan menurut Lingam orang itu ialah Ahmad Fairuz.
Beliau juga mengesahkan bahawa Lingam yang menerima panggilan telefon yang didakwa dari Ahmad Fairuz.
Loh berkata, beliau merungut kepada Lingam bahawa peguam itu asyik menerima panggilan telefon, bukan sahaja pada malam tersebut, tetapi juga pada setiapkali mereka berjumpa.
Loh memberitahu suruhanjaya siasatan diraja itu bahawa beliau pergi ke rumah Lingam untuk membincangkan urusan perundangannya dengan Lingam dengan syarat ketat bahawa peguam itu tidak membuat sebarang panggilan telefon.
Ahli perniagaan itu berkata Lingam memohon maaf kepadanya, dengan berkata, beliau tidak membuat panggilan telefon tetapi hanya menerima panggilan. Ini membuat hadirin ketawa.
Merujuk kepada gambar yang menunjukkan beberapa botol wain dan alkohol di atas meja, Thayalan mahu menyaran bahawa perbualan tersebut dibuat di bawah pengaruh alkohol.
Bagaimanapun, suruhanjaya itu menolak kemungkinan bahawa Lingam atau Loh mabuk pada malam tersebut.
Selain Thayalan dan Nordin, Loh juga disoal-balas hampir dua jam oleh peguam Ahmad Fairuz - Syed Alwee Ahmad Alsree dan peguam Majlis Peguam, Ranjit Singh dan Robert Lazar.
'Panggil Thirunama'
Sementara itu, Wee Choo Keong, yang mewakili adik lelaki Lingam - Thirunama Karasu - memohon supaya pelanggannya dipanggil sebagai saksi kerana pengeluaran sapina akan memberinya lebih perlindungan.
“(Thirunama) bersedia hadir (di siasatan suruhanjaya tersebut) tetapi adalah penting beliau diberi sapina," katanya Wee.
Wee memberitahu suruhanjaya siasatan diraja itu bahawa Thirunama adalah relevan untuk menjelaskan dakwaan hubungan rapat antara Lingam dan para hakim kerana Thirunama yang didakwa memandu kereta untuk membawa Lingam ke rumah hakim-hakim dan menyerahkan telefon bimbit kepada mereka.
Selepas berbincang sesama mereka, anggota suruhanjaya itu berkata pihaknya akan memutuskan perkara tersebut apabila tiba masanya.
Kekaburan nama James
Turut dibangkitkan ialah kekaburan mengenai salah satu nama yang disebut pada penghujung perbualan telefon dalam klip video tersebut.
Peguam Majlis Peguam, Robert Lazar bertanya sama ada nama lelaki itu adalah James Kumar atau James Foong.
Di bawah adalah terjemahan petikan daripada transkrip yang disediakan oleh PKR.
Lingam: Eusoff Chin dan saya sangat rapat. Kerana kamu tahu...Yeah. Eusoff Chin berkuasa, saya boleh terus masuk Pom! Pom! Pom! Pom! Tetapi sekarang ada Dzaiddin. Jadi Dzaiddin menyerang kes-kes kita. Itu makna apat? James Kumar adalah bersama Dzaiddin. Tetapi Dzaiddin akan bersara pada 15f September. Dia habislah.
Bila ditanya mengenainya, Loh menjawab beliau rasa James yang disebut dalam klip video itu mungkin James Foong.
Siasatan hari ini juga diberitahu bahawa James Foong adalah hakim yang mendengar kes Loh ketika itu.
'Mengapa diam diri?'
Loh juga ditanya mengapa beliau berdiam diri ketika panel bebas tiga anggota menjalankan siasatan mengenai ketulenan klip video tersebut tahun lalu.
Loh menjelaskan bahawa beliau telah menghantar sepucuk surat kepada perdana menteri pada 5 November 2007, untuk menawarkan dirinya sebagai saksi dengan jaminan diberi perlindungan.
Katanya, setiausahanya juga telah menghantar emel kepada panel tersebut bagi pihaknya di bawah nama samaran Loiiss L pada 6 November dan 1 Novemberf, dengan salinannya dihantar kepada Majlis Peguam.
Loh berkata, beliau menerima sepucuk surat mengesahkan penerimaan suratnya dari Jabatan Perdana Menteri, tetapi tiada sebarang jawapan diterima dari panel tersebut.
Loh juga memberitahu suruhanjaya siasatan diraja itu bahawa beliau telah dipintas oleh pegawai-pegawai BPR di Melaka ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Singapura pada sekitar 28 Disember tahun lalu.
Salinan surat dan emel tersebut ditunjukkan kepada suruhanjaya siasatan diraja itu hari ini.
Anggota suruhanjaya itu, Mahadev memperjelaskan bahawa panel tiga anggota tersebut tidak dengan sengaja mengenepikan saksi-saksi.
Mahadev memberitahu Loh bahawa panel tersebut telah mengemukakan laporan mereka pada 6 November, iaitu di sekitar masa yang sama emel tersebut dikatakan dihantar.
Mahadev juga memaklumkan bahawa Loh sentiasa ada sebagai saksi dan bertindak dengan niat yang baik. Berita asal

