Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Aliff Ahmad diperintah bayar ganti rugi RM130,000 kepada dua peguam

Aktivis media sosial Ahmad Aliff A S Ahmad Shariffuddin hari ini diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi di Shah Alam untuk membayar ganti rugi berjumlah RM130,000 kepada dua peguam selepas didapati bertanggungjawab menerbitkan kenyataan berunsur fitnah di media sosial, lima tahun lepas.

Pada prosiding tersebut, Hakim Datuk Khadijah Idris memutuskan bahawa kedua-dua plaintif Nur A'minahtul Mardiah Md Nor dan Asiah Abd Jalil, berjaya membuktikan unsur fitnah terhadap defendan.

Sehubungan itu, mahkamah menganugerahkan ganti rugi global sebanyak RM80,000 kepada Nur A'minahtul Mardiah, yang merangkumi ganti rugi am, khas dan teladan, selain kos tindakan RM10,000.

Bagi Asiah, mahkamah memerintahkan defendan membayar ganti rugi global sebanyak RM50,000, bersama kos guaman berjumlah RM7,000.

Keputusan itu disahkan oleh kedua-dua plaintif ketika dihubungi Bernama.

Dalam writ saman difailkan melalui Tetuan Nurul Hafidzah & Associates, kedua-dua plaintif menuntut ganti rugi am masing-masing berjumlah RM1,000,000 bagi kenyataan fitnah yang diterbitkan oleh defenden.

Kedua-dua plaintif mendakwa kenyataan fitnah tersebut menyebabkan pihak lain menganggap mereka peguam yang tidak berwibawa dan tidak berintegriti sehingga merosakkan kredibiliti dan menjatuhkan reputasi mereka.

Susulan itu, kedua-dua plaintif menuntut agar defendan menarik balik kenyataan fitnah berkenaan serta membuat permohonan maaf di akaun Facebook atau akaun media sosial lain.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS