Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Arab Saudi pintas 51 dron di Wilayah Timur
Diterbitkan:  Mar 21, 2026 4:33 PM
Dikemaskini: 8:33 AM

Kementerian Pertahanan Arab Saudi pada Sabtu memaklumkan bahawa ia telah memintas dan memusnahkan 51 dron di Wilayah Timur kerajaan itu, ketika negara berkenaan berdepan gelombang serangan udara yang berterusan semalaman, lapor Anadolu Ajansi.

Kementerian itu tidak menyatakan punca dron berkenaan, namun sebelum ini negara itu pernah mengecam serangan Iran yang menyasarkan negara Arab sebagai sebahagian daripada tindak balas Tehran terhadap perang Amerika Syarikat (AS)-Israel ke atas Iran.

Serangan itu berlaku di tengah-tengah peningkatan ketegangan serantau yang lebih luas sejak AS dan Israel melancarkan serangan bersama ke atas Iran pada 28 Feb, yang mengorbankan kira-kira 1,300 orang, termasuk Pemimpin Agung ketika itu, Ali Khamenei.

Iran telah bertindak balas dengan melancarkan peluru berpandu dan dron menyasarkan aset serta kepentingan Israel dan Amerika Syarikat di seluruh negara Arab.

Beberapa serangan berkenaan telah menyebabkan kemalangan jiwa dan kerosakan kepada infrastruktur awam, sekali gus mengundang kecaman daripada negara yang menjadi sasaran.

- Bernama-Anadolu

TAG: Iran, Arab Saudi, dron

CL KLS

Saturday , 21 March 2026

SYARIKAT PENERBANGAN ALAMI KERUGIAN US$53 BILION SUSULAN KONFLIK ASIA BARAT

MOSCOW, 21 Mac (Bernama-Sputnik/RIA Novosti) -- Kerugian yang dialami akibat pencerobohan Amerika Syarikat (AS) dan Israel terhadap Iran berjumlah kira-kira US$53 bilion bagi 20 syarikat penerbangan tersenarai awam terbesar, lapor Sputnik/RIA Novosti yang memetik laporan Financial Times berdasarkan pengiraannya sendiri.

Eksekutif syarikat penerbangan memberi amaran mengenai kesan yang berpunca daripada kenaikan harga minyak yang berterusan, gangguan di lapangan terbang negara Teluk, serta potensi kesan terhadap permintaan global, tambah Financial Times.

Dalam tempoh beberapa bulan akan datang, penumpang yang merancang perjalanan bagi laluan yang tidak berkaitan dengan Asia Barat akan berdepan kenaikan mendadak harga tiket ketika syarikat penerbangan cuba melindungi hasil pendapatan mereka, lapor akhbar berkenaan.

Pada 28 Feb, AS dan Israel mula menyerang sasaran di Iran, termasuk di Tehran, yang menyebabkan kerosakan dan kematian orang awam. Iran telah melancarkan serangan balas ke atas wilayah Israel, serta sasaran aset AS di Asia Barat.

AS dan Israel pada mulanya mendakwa serangan “awal" mereka adalah perlu untuk menangani ancaman yang dianggap berpunca daripada program nuklear Iran, namun mereka kemudiannya menjelaskan bahawa mereka mahu melihat perubahan kuasa di Iran.

- Bernama-Sputnik/ Ria Novosti


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS