Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
TPM Fadillah beri amaran kemungkinan risiko kemarau
Diterbitkan:  Mar 23, 2026 9:47 AM
Dikemaskini: 2:51 AM

Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof berkata negara sedang berhadapan dengan keadaan cuaca yang tidak menentu berikutan peralihan Monsun Timur Laut ke Monsun Barat Daya.

Katanya, ini mengakibatkan cuaca di negara ini menjadi lebih panas dan kering sehingga boleh membawa kepada kemarau.

Fadillah Yusof

“Kerajaan melalui kementerian berkaitan bersama-sama syarikat-syarikat perkhidmatan air di setiap negeri sedang memantau keadaan semasa dan pelan tindakan sedang dirangka untuk memastikan bekalan air mencukupi.

“Bekalan air terutamanya kolam-kolam takungan air mitigasi kemarau berada dalam keadaan baik setakat kini.

“Namun langkah pemantauan berterusan akan dilaksanakan bagi menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Rakyat sempena Aidilfitri di Kuching, semalam.

Bagaimanapun Fadillah yang juga menteri peralihan tenaga dan transformasi air menasihati rakyat supaya mengamalkan penggunaan air secara berhemah.

“Penggunaan air secara bijaksana penting terutama ketika cuaca panas dan tidak menentu ini,” katanya.

Dia menambah sekiranya berlaku kekurangan bekalan, langkah segera termasuk penghantaran air menggunakan lori tangki serta pemantauan kolam takungan akan dilaksanakan bagi memastikan bekalan sampai kepada pengguna.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran Tahap 2 (gelombang haba) bagi kawasan Padang Terap, di Kedah.

Menurut jabatan itu, suhu maksimum harian di kawasan itu dijangka mencecah antara 37 hingga 40 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.

Selain Padang Terap, sebanyak 14 kawasan lain di Semenanjung Malaysia kini diletakkan di bawah status tahap satu atau berjaga-jaga.

Ini termasuk di seluruh Perlis serta kawasan Baling, Sik, Pendang, Pokok Sena, Kubang Pasu, Pulau Langkawi, Kuala Muda dan Bandar Baharu di Kedah.

Amaran sama turut dikeluarkan bagi kawasan Timur Laut (Pulau Pinang), Hulu Perak dan Kuala Kangsar (Perak), Jerantut (Pahang) dan Rembau (Negeri Sembilan).

Status berjaga-jaga dikeluarkan apabila sesebuah kawasan merekodkan suhu maksimum harian antara 35 hingga 37 darjah Celsius bagi tempoh tiga hari berturut-turut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS