Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Trump: AS akan ambil uranium diperkaya Iran jika perjanjian dicapai
Diterbitkan:  Mar 24, 2026 8:51 AM
Dikemaskini: 12:51 AM

Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Isnin berkata bahawa jika AS mencapai perjanjian dengan Iran, Washington akan mengambil uranium diperkaya milik negara itu, lapor Anadolu Ajansi.

Apabila ditanya pemberita bagaimana AS akan memperoleh uranium diperkaya Iran, yang menjadi punca pertikaian selama bertahun-tahun antara kedua-dua pihak, beliau berkata: “Ia sangat mudah.”

“Jika kita mempunyai perjanjian dengan mereka, kita akan ke sana dan kita sendiri akan mengambilnya,” tambah beliau.

Sambil menyatakan bahawa pusingan terbaharu rundingan antara Washington dan Tehran berlaku lewat Ahad - yang dinafikan Iran - Trump berkata kepada pemberita sebelum berlepas bagi lawatan ke selatan AS: “Mereka sangat mahu mencapai perjanjian. Kami juga mahu mencapai perjanjian.”

“Kami akan berhubung hari ini, mungkin melalui telefon,” katanya.

Mendakwa bahawa adalah “sangat sukar” bagi pegawai Iran untuk keluar dari negara itu, Trump turut berkata pegawai AS dan Iran akan bertemu secara bersemuka "pada satu ketika, dalam masa terdekat."

Mengenai pengumumannya lebih awal hari itu berhubung penangguhan selama lima hari terhadap serangan ke atas kemudahan tenaga Iran, presiden AS itu berkata: “Kita akan lihat bagaimana perkembangannya, dan jika ia berjalan lancar, kita akan menyelesaikan perkara ini. Jika tidak, kita akan terus melancarkan pengeboman tanpa henti.”

- Bernama- Anadolu


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS