Seorang penyanyi rock popular memohon maaf kerana bertindak keterlaluan melucutkan bajunya dan menunjukkan logo Superman pada dadanya dalam satu konsert yang disiarkan secara langsung Ahad lalu, demikian menurut laporan media hari ini.

Station 8TV yang menyiarkan konsert tersebut 'terperanjat' dengan aksi penyanyi Faizal Tahir itu.

Stesen TV tersebut menyifatkan aksi Faizal itu tidak boleh diterima di negara ini.

"Saya amat kesal melakukan aksi tersebut. Saya tidak sedar ramai yang menganggapnya satu penghinaan," kata Faizal dalam laporan akhbar New Straits Times.

Faizal yang dilahirkan menerusi program bintang realiti TV berkata, beliau pernah berbuat demikian sebelum ini tetapi tiada pihak yang membantah.

"Sekarang saya menyedari bahawa melucutkan baju adalah satu larangan," katanya.

Pegawai stesen berkenaan memberitahu AFP bahawa aksi melucutkan baju, walaupun untuk orang lelaki, melanggar peraturan penyiaran di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif 8TV, Ahmad Izham Omar berkata, beliau terperanjat dengan aksi Faizal tersebut.

Ekoran itu, katanya, stesen tersebut tidak akan membenarkan Faizal muncul di salurannya sehinggalah pihaknya benar-benar yakin penyanyi tersebut akan mematuhi peraturan yang ditetapkan.

"8TV meminta semua artis yang muncul dalam programnya membuat persembahan yang sihat dan positif bagi meningkatkan kualiti dalam bidang hiburan," katanya dalam satu kenyataan.