Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Trump dakwa AS sedang berunding, Iran kata 'berita palsu'
Diterbitkan:  Mar 25, 2026 10:27 AM
Dikemaskini: 3:00 AM

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mendakwa rundingan untuk menamatkan konflik dengan Iran sedang berjalan dan menunjukkan perkembangan baik, termasuk satu konsesi penting dari Tehran.

“Kami sedang berunding sekarang,” katanya kepada wartawan di Rumah Putih sambil menambah Iran sangat mahu mencapai perjanjian, lapor Reuters.

Iran menafikan mengadakan rundingan secara langsung, dengan Speaker Parlimen Iran, Mohammad Baqer Qalibaf menyifatkannya sebagai “berita palsu”.

Saluran Channel 12 Israel, memetik tiga sumber, menyatakan AS sedang berusaha mendapatkan gencatan senjata selama sebulan bagi membincangkan pelan tersebut.

Satu sumber yang mengetahui perkara itu mengesahkan AS telah menghantar pelan kepada Iran, namun tidak memberikan butiran lanjut.

Media Israel itu melaporkan pelan tersebut termasuk pembongkaran program nuklear Iran, menghentikan sokongan kepada kumpulan proksi, serta pembukaan semula Selat Hormuz.

Pejabat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, tidak memberikan sebarang maklum balas segera terhadap permintaan komen.

Trump berkata Iran telah membuat satu konsesi berharga berkaitan tenaga bukan nuklear dan Selat Hormuz, walaupun tidak menghuraikan lebih lanjut.

“Ia satu hadiah yang sangat besar, bernilai amat tinggi… Ia satu tindakan yang sangat baik daripada mereka,”katanya.

Namun, serangan masih berterusan dan AS dijangka menambah ribuan tentera ke rantau itu, sekali gus meningkatkan risiko konflik berpanjangan.

Sementara itu, Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif menawarkan negara itu sebagai tuan rumah rundingan, serta menyokong usaha dialog untuk “rundingan yang bermakna dan muktamad untuk penyelesaian menyeluruh.”


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS