Penduduk India di Batu Caves tidak percaya kerajaan negeri Selangor akan membina pusat kebudayaan kaum India di Batu Caves kerana janji sedemikian rupa telah dibuat sejak tahun 2004 lagi.

Bagi mereka, janji yang dibuat oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo itu tidak lebih untuk mendapatkan sokongan pengundi masyarakat India.

Berikutan itu, kira-kira 100 penduduk keturunan India telah mengadakan perhimpunan aman membantah kenyataan Menteri Besar Selangor itu pada 1 Januari lalu.

"Ini janji lama. Pada 2004, Dr Mohd Khir telah membuat kenyataan sedemikian rupa tetapi sehingga sekarang belum menjadi kenyataan.

"Persoalan utama ialah di mana tanah untuk membina pusat kebudayaan kaum India itu kerana kawasan Batu Caves dipenuhi pelbagai projek pembangunan.

"Kerajaan negeri sehingga sekarang belum mengumumkan tapak pusat kebudayaan tersebut," kata seorang penduduk, Viriya Raman ketika dihubungi hari ini yang turut menyertai perhimpunan aman tersebut.

Baru-baru ini, dalam perjumpaan dengan pengerusi kuil Selangor, Dr Mohd Khir mengumumkan kerajaan menyediakan RM20 juta untuk membina pusat kebudayaan kaum India di atas kawasan seluas 20 ekar di Batu Caves.

'Janji politik'

Viriya berkata, beliau tidak percaya pusat kebudayaan kaum India akan dibina di Batu Caves kerana pengumuman mengenainya telah dibuat beberapa kali tetapi belum menampakkan sebarang hasil.

"Mungkin ini janji politik kerana pilihanraya umum sudah dekat," katanya lagi.

Menurutnya, apa yang berlaku sekarang ialah satu demi satu projek pembangunan dilaksanakan tetapi pusat kebudayaan kaum India belum kelihatan.

Katanya, beberapa tahun projek tersebut diumumkan, tanah untuk pusat kebudayaan kaum India belum dikenal pasti.

"Di mana mahu cari tanah 20 ekar di Batu Caves kerana semuanya penuh dengan pembinaan apartmen dan kondominum," katanya lagoi.

Sementara itu, seorang pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR), S Manikavasagam berkata, beliau akan membuat laporan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) supaya menyiasat kesahihan pembinaan pusat kebudayan kaum India di Batu Caves.

Beliau yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tinggi (MPT) PKR berkata, pihaknya sedang mengumpul bukti mengenai perkara tersebut.