Sepuluh penyokong Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) hari ini dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan melanggar larangan polis daripada menyertai perhimpunan haram di bangunan Parlimen pada 11Disember lalu.

Mereka - termasuk beberapa pemimpin pembangkang - dihadapkan ke Mahkamah Majistret Jalan Duta Kuala Lumpur pagi tadi.

Kesemua mereka minta dibicarakan dan mahkamah menetapkan ikatjamin RM1,000 setiap seorang. Kes itu akan didengar pada 23 hingga 26 Jun.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 27 Akta Polis yang menyatakan bahawa permit polis diperlukan untuk mengadakan perhimpunan di tempat awam.

Jika didapati bersalah, mereka boleh didenda antara RM2,000 hingga RM10,000 atau dihukum penjara tidak melebihi setahun.

Antara pemimpin pembangkang yang didakwa hari ini ialah Bendahari PAS, Dr Hatta Ramli; ahli jawatankuasa pusat PAS< Dr Lo'Lo' Ghazali dan Pengerusi penaja Parti Sosialis Malaysia, Dr Nasir Hashim.

Mereka diwakili oleh sepasukan lima orang peguam.

Membuat provokasi

Sementara itu, seorang lagi penyokong Bersih, Norazimah Mohd Noor didakwa mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana didakwa memprovokasi seorang pegawai polis pada hari yang sama.

Menurut kertas pertuduhan, Norazimah dituduh memprovokasi Ketua Bahagian Keselamatan Awam dan Ketua Trafik Kuala Lumpur, ACP K Kumaran dengan pengetahuan bahawa provokasi tersebut berkemungkinan menyebabkan ACP Kumaran menggangggu ketenteraman awam (kanan).

Norazimah juga diberi pilihan untuk mengaku beralah terhadap satu tuduhan berasingan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil - kerana menggunakan perkataan menghina 'kamu sombong' dan 'kamu kurang ajar' terhadap ACP Kumaran, sambil menuding jari terhadap ACP Kumaran, dengan tujuan membangkit kemarahan bagi menganggu keamanan.

Jika didapati bersalah bagi kesalahan pertama, beliau boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau didenda atau kedua-duanya sekali.

Bagi tuduhan kedua, jika didapati bersalah, Norazimah boleh dikenakan denda RM800.

Norazimah minta dibicarakan dan Majistret Aizatul Akmal Maharani menetapkan ikatjamin RM800. Kes itu akan didengar pada 17 dan 18 Disember tahun ini.

Kira-kira 30 penyokong Bersih berhimpun di luar bangunan Parlimen untuk menyerahkan memorandum membantu pindaan perlembagaan bagi melanjutkan tempoh umur perkhidmatan anggota Suruhanjaya Pilihanraya (SPR).

Minggu lalu, Ketua Penerangan PKR, Tian Chua didakwa menyebabkan kecederaan terhadap seorang anggota polis ketika hendak ditahan sewaktu protes tersebut.