Setiausaha Agung PN, Takiyuddin Hassan semalam menunjukkan kepada pihak media sepucuk surat yang dihantar oleh Presiden MIC, SA Vigneswaran kepada gabungan itu.
Surat itu katanya, membuktikan MIC pernah memohon untuk menyertai PN.
Bagaimanapun MIC menafikan perkara itu dan menjelaskan parti itu hanya meminta penjelasan mengenai syarat sekiranya ingin menjadi komponen PN.
Semakan terhadap surat tersebut menunjukkan ia lebih menyokong penjelasan MIC. Pun begitu, kandungannya menunjukkan MIC sedang secara serius mempertimbangkan untuk menyertai PN.
Dalam surat itu, Vigneswaran berkata MIC menghargai peluang yang diberikan untuk dipertimbangkan semula sebagai komponen PN.
Dia juga berkata MIC mahu mendapatkan penjelasan terlebih dahulu sebelum membuat keputusan, supaya mereka boleh menilai semua manfaat dan hak sebagai salah satu pengasas bersama parti itu.
Takiyuddin berkata surat itu telah diserahkan dengan tangan kepada Pengerusi PN ketika itu, Muhyiddin Yassin pada 15 Nov tahun lalu.

Penggunaan istilah “kemasukan semula” dan rujukan MIC sebagai “pengasas bersama” PN mungkin merujuk ketika MIC merupakan salah satu daripada empat parti yang secara rasmi memohon untuk menyertai PN semasa gabungan itu didaftarkan pada Ogos 2020.
Namun, MIC menarik balik permohonannya pada bulan yang sama selepas Umno enggan menyertai gabungan baharu itu.
Empat soalan
Dalam surat tersebut, Vigneswaran turut mengemukakan empat soalan daripada MIC sebelum membuat keputusan untuk menyertai PN semula.
Soalan pertama ialah sama ada kemasukan semula itu akan berlaku secara automatik dan tanpa syarat. MIC juga mahukan surat tawaran rasmi untuk dipertimbangkan oleh parti.
Soalan kedua berkaitan dengan jangkaan terhadap keperluan MIC sebagai parti India paling senior sekiranya menyertai PN. Ia juga meminta jaminan “mandatori” bahawa agenda masyarakat India akan dipelihara dan diberi keutamaan.

Ketiga, MIC ingin mengetahui jawatan yang akan diberikan kepada mereka dalam gabungan tersebut.
Akhir sekali, MIC ingin mengetahui sama ada terdapat sebarang terma dan syarat lain yang perlu diketahui sebelum membuat keputusan.
“Tidak perlu dikatakan, semua hak kami adalah terpelihara sepenuhnya,” tambah Vigneswaran.
Selepas surat tersebut dihantar, PN berkata gabungan itu telah menerima MIC sebagai komponen pada Disember, dengan keputusan itu disahkan pada 14 Mac.
Namun, MIC berulang kali menafikan bahawa surat yang dihantar kepada gabungan itu merupakan permohonan untuk menyertai PN.
MIC juga dilaporkan telah memutuskan untuk tidak bersama PN dan akan kekal dalam BN buat masa ini.
