Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Istana Pahang nafi kewujudan media sosial peribadi milik Al-Sultan Abdullah

Istana Pahang menafikan kewujudan sebarang media sosial peribadi milik Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Kesultanan Pahang menerusi hantaran di Facebook memaklumkan baginda tidak mempunyai sebarang akaun media sosial yang dilihat banyak dihasilkan oleh pihak tidak bertanggungjawab menggunakan nama dan gambar Al-Sultan Abdullah untuk memperdaya orang ramai.

“Begitu juga dengan akaun palsu terutamanya Facebook dan TikTok menggunakan nama dan gambar Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah,” menurut hantaran itu.

Istana Pahang menegaskan bahawa semua akaun berkenaan adalah palsu dan orang ramai dinasihatkan agar tidak mempercayai sebarang pautan atau maklumat yang terkandung dalam media sosial palsu.

Orang ramai juga diminta melaporkan segera kepada pihak berkuasa sekiranya menerima pelawaan atau kandungan mencurigakan.

Menurut hantaran itu, semua aktiviti atau titah secara langsung hanya disiarkan menerusi platform media sosial Kesultanan Pahang, dan di Facebook hanya satu akaun sah Kesultanan Pahang dengan kira-kira 772,000 pengikut ketika ini.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS