Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Universiti terkait AS, Israel 'sasaran sah' tentera Iran
Diterbitkan:  Mar 30, 2026 8:31 AM
Dikemaskini: 12:31 AM

GLOBAL | Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran semalam memberi amaran, universiti yang mempunyai kaitan dengan AS dan Israel di rantau itu menjadi "sasaran sah" selepas kemudahan pendidikan negara terbabit diserang.

Anadolu Ajansi yang memetik kenyataan agensi berita separa rasmi Iran, Fars, menyebut IRGC menuduh Washington dan Tel Aviv berulang kali mengebom universiti mereka, termasuk Universiti Sains dan Teknologi Iran di Tehran.

"Mulai sekarang, semua universiti entiti pendudukan (Israel) dan universiti AS di Asia Barat akan dianggap sebagai sasaran sah sebagai tindak balas terhadap pemusnahan institusi akademik Iran," menurut kenyataan itu.

IRGC turut menggesa kakitangan dan pelajar di universiti terbabit serta penduduk berhampiran untuk menjauhkan diri sekurang-kurangnya satu kilometer dari kemudahan berkenaan demi keselamatan masing-masing.

Pada Rabu, IRGC menuntut Washington mengecam serangan ke atas universiti atau berdepan dengan serangan balas.

Media Iran melaporkan beberapa serangan dilakukan AS dan Israel ke atas kemudahan pendidikan, termasuk Universiti Teknologi Isfahan dan Universiti Sains dan Teknologi Iran di Tehran.

AS dan Israel terus melancarkan serangan udara ke atas Iran sejak 28 Feb, yang setakat ini telah mengorbankan lebih 1,340 orang termasuk pemimpin agung negara terbabit, Ayatollah Ali Khamenei.

Iran telah membalas dengan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel, Jordan, Iraq, dan negara-negara Teluk yang menempatkan aset tentera AS, sehingga mengakibatkan kemalangan jiwa dan kerosakan infrastruktur, selain menjejaskan pasaran global serta penerbangan.

- Bernama/Anadolu


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS