Tiada mana-mana kawasan di negara ini yang merekodkan gelombang haba tahap dua setakat 6 pagi tadi, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
Berdasarkan data dikemas kini, jabatan itu menjelaskan, seluruh Perlis dan sembilan daerah di Kedah merekodkan cuaca panas tahap satu atau status berjaga-jaga.
Kata MetMalaysia, daerah yang terlibat di Kedah ialah Sik, Padang Terap, Pendang, Pokok Sena, Kubang Pasu, Pulau Langkawi, Kota Setar, Kuala Muda dan Baling.
Semalam, beberapa kawasan di Kedah mula menerima hujan. Antaranya daerah Kota Setar, Kubang Pasu dan Kuala Muda sekali gus membawa kelegaan kepada penduduk setempat.
Keadaan itu selari dengan fasa peralihan monsun yang lazimnya membawa hujan atau ribut petir pada waktu berkenaan.
Status berjaga-jaga dikeluarkan bagi suhu maksimum harian 35 hingga 37 darjah Celsius, manakala tahap dua (gelombang haba) merujuk kepada suhu melebihi 37 hingga 40 darjah Celsius.
Kedua-dua tahap tersebut direkodkan sekiranya suhu berkenaan berlaku bagi tempoh sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.
- Bernama
