Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau baru saja mengenali peguam Datuk V K Lingam, orang yang dirakam dalam satu klip video sedang bercakap mengenai pelantikan hakim.

Ketika menjawab satu soalan semasa memberi keterangan kepada suruhanjaya siasatan diraja mengenai klip video berkenaan, bekas Perdana Menteri itu menafikan kononnya ahli perniagaan terkemuka Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun telah beberapa kali membawa Lingam ke rumahnya ketika beliau menjadi Perdana Menteri.

"Itu tak betul," katanya kepada soalan wakil Badan Peguam, Christopher Leong, yang merujuk kepada perbualan dalam klip video itu yang memberi andaian Lingam telah beberapa kali pergi ke rumah beliau.

Leong: Adakah Tun kenal V K Lingam?

Dr Mahathir: Saya tahu mengenai beliau daripada akhbar berhubung beberapa kes. Saya hanya mengenali beliau selepas saya melantiknya mewakili saya dalam kes saman terhadap saya oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun, katanya, Lingam pernah datang ke rumahnya selepas beliau tidak lagi menjadi perdana menteri dan selepas rakaman klip video itu dibuat, demikian menurut laporan Bernama.

"Selepas saya lantik Lingam bagi mewakili saya dalam saman itu, barulah dia datang ke rumah saya," katanya.

Kepada soalan Leong sama ada Tan memperkenalkan Lingam kepadanya, Dr Mahathir berkata beliau tidak dapat hendak pastikannya tetapi beliau mungkin telah bercakap dengan Tan untuk menghubungi Lingam.

Ditanya kenapa beliau memilih Lingam mewakilinya dalam kes saman itu, Dr Mahathir berkata beliau berpendapat Lingam adalah calon terbaik.

Katanya, Lingam masih menjadi peguamnya.

Ketika ditanya sama beliau telah melihat klip video itu, Dr Mahathir berkata beliau melihatnya menerusi televisyen.

Kepada soalan mengenai hubungannya dengan Tan, beliau berkata mereka telah berkenalan sejak sekian lama.

Suruhanjaya itu ditubuhkan bertujuan antaranya bagi mengenal pasti sama ada terdapat sebarang salahlaku daripada perbualan dalam klip video itu dan jika ada, mencadangkan tindakan sewajarnya.

Ia dianggotai bekas Hakim Besar Malaya Tan Sri Haidar Mohamed Noor sebagai pengerusi, bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Steve Shim Lip Kiong, bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mahadev Shankar, bekas Peguamcara Negara Puan Sri Zaitun Zawiyah Puteh dan Prof Emeritus Dr Khoo Kay Khim.

Ketika ditanya oleh anggota suruhanjaya itu, Datuk Mahadev Shankar, kenapa beliau tidak menerima cadangan bekas Ketua Hakim Negara Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah untuk melantik (allahyarham) Tan Sri Abdul Malek Ahmad sebagai Hakim Besar Malaya, Dr Mahathir berkata faktor yang mendorong beliau membuat keputusan itu tidak perlu diberitahu kepada orang lain.

"Itu adalah bidang kuasa saya. Saya tak perlu huraikan," katanya.

Malahan, kata Dr Mahathir, beliau tidak ingat sama ada Dzaiddin membuat perakuan supaya Abdul Malek dilantik ke jawatan itu.

Abdul Malek meninggal dunia pada 1 Jun tahun lalu.

Dr Mahathir, yang mengangkat sumpah dalam Bahasa Malaysia, telah memberi keterangan selama satu jam 20 minit, pada hari keempat inkuiri itu.

Kepada soalan wakil Badan Peguam, Christopher Leong, beliau berkata bahawa sebelum membuat keputusan beliau akan mendapatkan maklumat balas daripada orang yang mengenali mana-mana calon yang dicadangkan untuk jawatan tinggi termasuk pegawai kerajaan.

Dr Mahathir berkata kadangkalanya beliau akan mendapatkan maklumat daripada polis atau Badan Pencegah Rasuah bagi memastikan beliau membuat pilihan yang tepat.

Ketika ditanya sama ada ahli perniagaan Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun adalah antara orang yang menjadi sumber bagi beliau dapatkan maklumat, Dr Mahathir berkata itu mungkin juga.

Katanya beliau tidak menerima apa-apa memo daripada Datuk V.K.Lingam mencadangkan nama-nama peguam tertentu untuk dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi tetapi sebagai Perdana Menteri, beliau mungkin menerima surat daripada Ketua Hakim Negara ketika itu, Tun Eusoff Chin, namun beliau tidak ingat.