Malaysia menutup kempen pusingan kelayakan Piala Asia 2027 yang cukup ‘ngeri’ dengan kekalahan 1-3 kepada Vietnam pada perlawanan terakhir Kumpulan F di Stadium Thien Truong, Nam Dinh, malam ini.
Tuan rumah membuka tirai jaringan seawal minit keenam menerusi tandukan deras kapten pasukan Do Duy Manh yang menyempurnakan sepakan penjuru diambil Truong Tien Anh.
Skuad Harimau Malaya bimbingan Peter Cklamovski berpeluang menyamakan kedudukan pada minit ke-10, namun percubaan sungkitan Mohamad Faisal Abdul Halim hasil tolakan Paulo Josue tersasar.
Vietnam hampir menggandakan kelebihan pada minit ke-24 apabila rembatan jarak jauh Nguyen Hoang Duc menggegar palang, meskipun penjaga gol negara Ahmad Syihan Hazmi sudah tertewas.
Bagaimanapun, Ahmad Syihan tampil menyelamatkan keadaan apabila melakukan sentuhan penting untuk menafikan rembatan Do Hoang Hen dalam kotak penalti pada minit ke-32, sekali gus memastikan keputusan 0-1 kekal hingga rehat.
Bersambung babak kedua, Vietnam menambah jaringan kedua menerusi tandukan penyerang naturalisasi Nguyen Xuan Son yang menyambut hantaran Do Hoang Hen pada minit ke-51.
Xuan Son sekali lagi mencatat nama sebagai penjaring apabila dia yang tidak dikawal dalam kotak penalti menanduk masuk hantaran lintang Tien Anh pada minit ke-59 untuk meletakkan skuad bimbingan Kim Sang Sik itu selesa mendahului 3-0.
Malaysia meraih gol sagu hati menerusi sepakan penalti yang disempurnakan pemain gantian Endrick Dos Santos pada minit ke-77, namun tetap akur dengan kekalahan yang sekali gus memanjangkan kemarau kemenangan ke atas Vietnam di tempat lawan sejak kali terakhir pada 2014.
Selepas enam perlawanan, Vietnam yang sudah mengesahkan tiket ke Pusingan Akhir Piala Asia 2027 mengumpul 18 mata, diikuti Malaysia di tempat kedua (sembilan mata), Laos (enam mata) dan Nepal di kedudukan tercorot dengan tiga mata.
Harapan Malaysia untuk beraksi pada Pusingan Akhir Piala Asia berdasarkan merit buat kali kedua berturut-turut musnah pada saat akhir selepas dikenakan pemotongan mata oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).
Baru-baru ini, Jawatankuasa Tatatertib dan Etika AFC mendapati FAM melanggar Artikel 56 Kod Tatatertib dan Etika AFC kerana menurunkan pemain yang tidak layak dalam perlawanan kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal dan Vietnam, tahun lepas.
- Bernama
