Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Persatuan Berbasikal KL: Saranan Ahmad Maslan wajar diberi perhatian serius

Persatuan Berbasikal Kuala Lumpur (KLCA) menyokong cadangan penggunaan basikal ke lokasi yang dekat sebagai salah satu langkah bagi mendepani peningkatan kos bahan bakar.

Presidennya, Armand Azha Abu Hanifah, berkata cadangan dilontarkan Timbalan Menteri Kerja Raya Ahmad Maslan merupakan satu langkah yang wajar diberi perhatian serius.

"Jika kita melihat kepada negara-negara maju, penggunaan basikal sebagai pengangkutan ke tempat kerja bukanlah sesuatu yang asing, malah telah menjadi sebahagian daripada budaya kehidupan masyarakat.

"Pendekatan ini bukan sahaja, mengurangkan kos perbelanjaan harian, (tapi) mengurangkan kebergantungan kepada bahan api, malah menyumbang kepada gaya hidup yang lebih sihat dan lestari.

"Namun begitu, untuk memastikan pendekatan ini benar-benar berkesan di Malaysia, beberapa perkara asas perlu diberi perhatian oleh pihak kerajaan," katanya kepada Malaysiakini.

Armand Azha Abu Hanifah

Armand yang juga Ketua Umno Subang berkata, untuk melaksanakan cadangan itu ia perlu disusuli penyediaan laluan basikal yang selamat dan bersambung serta penyediaan infrastruktur jalan raya yang mesra pengguna basikal.

Ahmad sebelum ini mempertahankan cadangan penggunaan basikal sebagai pengangkutan alternatif bagi menghadapi situasi sukar ketika harga bahan bakar terus memuncak.

Ahmad menjelaskan berbasikal adalah kaedah yang sihat untuk ke tempat yang dekat dan bukannya melibatkan ke lokasi jauh.

"Kenapa ketawa? Teringat cadangan saya basikal adalah kaedah yang sihat untuk ke tempat yang dekat.

"Bukan saya cadang naik basikal dari Pontian ke JB (Johor Bahru) atau Putrajaya ke KL (Kuala Lumpur).

"Maksud saya dalam bandar Pontian atau dalam bandar Putrajaya," katanya, mengulas kecaman pemimpin politik pembangkang serta warga net di media sosial.

Mengulas lanjut, Armand berkata kerjasama pihak swasta juga amat penting bagi menjayakan langkah itu, khususnya dalam menyediakan kemudahan sokongan seperti parkir basikal di tempat kerja dan kawasan komersial.

Katanya, pendekatan ini akan lebih berkesan sekiranya dilaksanakan secara berperingkat dan berfokus, dengan Kuala Lumpur sebagai lokasi perintis untuk dibangunkan sebagai sebuah “Cyclist City” yang lengkap dengan infrastruktur yang selamat dan mesra pengguna.

"Sehubungan itu, KLCA menyatakan sokongan penuh terhadap cadangan ini dan bersedia untuk bekerjasama dengan pihak kerajaan serta agensi berkaitan dalam menjayakan usaha ini.

"Akhirnya, setiap pendekatan yang diperkenalkan perlu dilihat secara menyeluruh dan inklusif agar ia benar-benar memberi manfaat kepada rakyat," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS