mk-logo
Berita
Kerajaan komited dedah dapatan siasatan isu saham Azam
Diterbitkan:  Apr 1, 2026 5:24 PM
Dikemaskini: 9:27 AM

Kerajaan memberikan komitmen untuk mendedahkan dapatan siasatan jawatankuasa khas yang ditubuhkan bagi meneliti isu pemilikan saham pegawai tertinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Jurucakap kerajaan Madani, Fahmi Fadzil, berkata langkah tersebut akan dibuat selepas semua aspek siasatan yang dimaksudkan itu selesai dibuat.

Untuk masa ini, tambah Fahmi, proses yang sepatutnya perlu diberikan ruang.

Menurut Fahmi, terserah kepada Ketua Setiausaha Negara, Shamsul Azri Abu Bakar, untuk melengkapkan proses seperti yang diputuskan.

“Komitmen daripada jemaah menteri khususnya perdana menteri ialah, setelah kedua-dua aspek siasatan selesai (dapatan itu) memang akan diumumkan.

“Itu komitmen daripada perdana menteri,” katanya.

Fahmi – yang mengadakan sidang media pascamesyuarat kabinet di Putrajaya – sebelum itu ditanya wakil Bloomberg mengenai status terkini siasatan jawatankuasa khas bagi menyiasat Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki.

Azam berdepan dengan dakwaan memiliki saham yang melebihi had dibenarkan bagi seseorang pegawai kerajaan.

SPRM kemudian membuat penjelasan bahawa Azam sudah mematuhi sepenuhnya keperluan pengisytiharan harta seperti dikehendaki pekeliling kerajaan, termasuk melalui Sistem Maklumat Pengurusan Sumber Manusia (HRMIS) Jabatan Perkhidmatan Awam terkait sumber pendapatan serta pemerolehan dan pelupusan aset.

Dalam sidang media hari ini wakil Bloomberg meminta penjelasan kepada Fahmi mengenai bila laporan siasatan tersebut akan didedahkan kepada umum.

Dia juga meminta jaminan yang laporan tersebut akan didedahkan sepenuhnya.

Menurut Fahmi berkenaan isu pegangan saham Azam, terdapat juga dakwaan yang dibuat oleh media antarabangsa yang mendakwa kemungkinan terdapat kaitan antara Azam dan manipulasi korporat.

“Seperti yang dijelaskan oleh pasukan Amla (antipengubahan wang haram) pada hari Isnin lalu, proses siasatan masih berterusan.

“Oleh kerana itu, kita (kerajaan) mesti memastikan siasatan selesai sepenuhnya sebelum apa-apa tindakan lanjut berkaitan pemakluman hasil siasatan isu pegangan saham Azam boleh didedahkan,” katanya.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS