Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Takut apa balik? Puad gesa Rafizi pujuk bekas pegawai beri keterangan SPRM
Diterbitkan:  Apr 2, 2026 12:05 PM
Dikemaskini: 4:05 AM

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Mohd Puad Zarkashi menggesa bekas menteri ekonomi Rafizi Ramli supaya memujuk bekas pegawai khasnya, James Chai, pulang ke tanah air dengan segera untuk memberi keterangan kepada SPRM.

Langkah itu perlu bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penglibatan syarikat semikonduktor, Arm Ltd, yang dikaitkan dengan bekas timbalan presiden PKR itu.

“Justeru Rafizi kenalah pujuk James Chai bekas pegawai khas dia itu balik segera ke Malaysia untuk beri keterangan.

“Takut apa balik. Kenapa jadi pelarian macam Jho Low dan menantu Muhyiddin?

“Kita harap Rafizi disiasat segera dan beri keterangan. Dia boleh kata mana ada duit berbilion ringgit telah masuk akaun banknya seperti Najib Razak. Itu bukan isunya. Salah laku dan menipu banyak caranya,” kata Puad dalam satu hantaran di media sosial hari ini.

Puad turut mengkritik tindakan Rafizi yang memberikan penjelasan secara panjang lebar di media sosial berbanding memberikan keterangan rasmi kepada pihak berkuasa.

Dia turut menyentuh pembelaan Rafizi yang mendakwa projek berkenaan mendapat persetujuan dalam mesyuarat kabinet, dengan membandingkan situasi tersebut dengan kes bekas perdana menteri Najib Razak melibatkan SRC International.

“Tidak perlu alih isu kononnya PMX (Perdana Menteri Anwar Ibrahim) setuju dalam kabinet. Meminda draf pun Najib kena dakwa sampai ada orang lain dapat pingat.

“Mahkamah putuskan Najib kena bayar balik AS$1.3 bilion kepada SRC kerana Najib yang luluskan pinjaman dari KWAP,” tambah Puad.

James Chai

Semalam, SPRM dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya memberi tempoh dua minggu kepada penyelidik, James Chai untuk pulang ke Malaysia bagi membantu siasatan berkaitan perjanjian RM1.1 billion kerajaan dengan Arm Holdings.

Suruhanjaya pencegahan rasuah itu menyatakan bahawa pihaknya sudah memberi pelanjutan tempoh kepada Chai sehingga 31 Mac disebabkan komitmen kerja dan kos perjalanannya, namun dia tetap tidak hadir.

“Sehubungan itu, SPRM telah mengeluarkan surat pada hari ini yang menetapkan bahawa beliau perlu hadir dalam tempoh dua minggu, dan SPRM juga bersedia untuk menanggung kos penerbangan beliau pulang ke Malaysia bagi membantu siasatan.

“Sekiranya beliau masih gagal hadir setelah diberikan lanjutan masa sebanyak dua kali, suruhanjaya ini akan mempertimbangkan untuk mendapatkan kerjasama saluran antarabangsa termasuk Interpol atau agensi penguatkuasaan luar negara bagi mengesan dan memastikan kehadiran beliau,” kata SPRM.

Terdahulu, Rafizi menafikan sebarang salah laku berhubung kaitan syarikatnya dengan projek semikonduktor tersebut dan menegaskan dia bersedia untuk memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa.

James Chai atau Chai Jin Shern adalah antara bijak pandai yang dilantik Rafizi bagi membantunya ketika menerajui kementerian ekonomi.

Rafizi Ramli

Lelaki titu merupakan graduan pusat pengajian terkemuka dunia Universiti Oxford dalam bidang undang-undang dan teknologi, selain turut dikenali sebagai seorang penulis. Dia sejak kebelakangan ini, menjadi pengkritik lantang kerajaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS