Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
KATA ADUN | Kelangsungan industri di Selangor wajar dilindungi

KATA ADUN | Saya mengambil maklum bahawa kerajaan negeri Selangor telah mengadakan Sidang Meja Bulat Khas MMKN (Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri) bagi membincangkan krisis geopolitik di Timur Tengah susulan konflik melibatkan Amerika Syarikat–Israel dan Iran, serta implikasinya terhadap ekonomi dan rakyat negeri ini.

Sebagai negeri yang menyumbang 26.2 peratus kepada KDNK negara, sebarang gangguan terhadap Selangor pasti memberi kesan langsung kepada keseluruhan ekonomi Malaysia. Justeru, langkah kesiapsiagaan yang dirangka ini amat penting bagi memastikan kestabilan ekonomi negeri dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

Antara perkara utama yang saya amati ialah gangguan bekalan bahan bakar global yang telah mula memberi kesan kepada beberapa negara, dengan Thailand antara yang terawal terjejas.

Malaysia pula setakat ini berjaya menstabilkan bekalan apabila rundingan membolehkan kapal bekalan melepasi Selat Hormuz, sekali gus membantu memastikan bekalan tempatan yang sebelum ini dijangka hanya bertahan sehingga hujung Mei.

Saya juga ingin membangkitkan isu rantaian bekalan (supply chain) khususnya kepada sektor pemprosesan dan pembuatan, yang amat kritikal kepada Selangor — terutamanya di kawasan seperti Shah Alam sebagai nadi industri negeri.

Sekiranya isu bekalan ini tidak ditangani dengan berkesan, kesan jangka panjangnya boleh membawa kepada:

• Gangguan operasi industri

• Pengurangan kapasiti pengeluaran

• Pemberhentian pekerja (retrenchment) yang memberi kesan langsung kepada rakyat

Walaupun tiada angka rasmi khusus bagi Shah Alam setakat ini, dianggarkan sekitar 700,000 hingga satu juta pekerja di Selangor bergantung kepada sektor pembuatan sebagai tulang belakang ekonomi negeri. 

Sekiranya gangguan bekalan bahan bakar dan rantaian industri ini berlarutan, walaupun hanya 10 ke 20 peratus operasi terjejas, impaknya boleh melibatkan sekitar 100,000 hingga 200,000 pekerja secara langsung dan tidak langsung — termasuk sektor logistik, vendor dan perusahaan kecil sederhana. 

Ini bukan sekadar isu ekonomi, tetapi melibatkan kelangsungan hidup keluarga yang bergantung kepada pendapatan harian mereka.

Sehubungan itu, saya menyokong penuh usaha kerajaan negeri untuk menubuhkan pasukan petugas khas (task force) serta mengadakan mesyuarat berkala bagi memantau situasi semasa dan merangka intervensi yang bersesuaian.

Dalam masa yang sama, saya menyeru agar:

• Pengurusan bekalan bahan bakar diperkukuh secara strategik

• Sokongan khusus diberikan kepada sektor pembuatan dan industri pemprosesan

• Langkah mitigasi awal dilaksanakan bagi melindungi pekerjaan rakyat

Kita telah melalui pelbagai krisis sebelum ini — daripada pandemik Covid-19, banjir besar 2021 hingga insiden letupan paip gas — dan setiap kali itu, Selangor bangkit dengan kekuatan kolektif antara kerajaan dan rakyat.

Keutamaan kita jelas: melindungi rakyat, memastikan kelangsungan industri, dan mengekalkan kestabilan ekonomi negeri.


DANIAL AL-RASHID merupakan Adun Batu Tiga dan Timbalan Ketua Pemuda Amanah Nasional.

Tulisan ini tidak semstinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS