mk-logo
Berita
Kes maut pemandu mabuk dorong cadangan pinda undang-undang, guna teknologi
Diterbitkan:  Apr 2, 2026 6:08 PM
Dikemaskini: 10:08 AM

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Muhammed Hasbullah Ali berkata sebanyak 31 kes kemalangan maut melibatkan pemandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah direkodkan tahun lalu,.

Kes kemalangan maut melibatkan pemandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah meningkat dalam tempoh dua tahun lalu, sekali gus mencetuskan cadangan pindaan undang-undang serta penggunaan teknologi bagi mengekang trend berkenaan.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali berkata sebanyak 31 kes kemalangan maut melibatkan pemandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah direkodkan tahun lalu, meningkat berbanding 27 kes pada 2024.

“Walaupun peningkatan ini tidak terlalu ketara, setiap kes membawa implikasi kehilangan nyawa yang amat serius dan tidak boleh dipandang ringan kerana berpunca daripada tingkah laku yang boleh dielakkan,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata cabaran utama dalam menangani kes berkenaan bukan hanya tertumpu kepada aspek penguatkuasaan di lapangan, sebaliknya melibatkan pembentukan sikap serta kesedaran dalam kalangan pengguna jalan raya.

Sehubungan itu, sekatan jalan raya serta ujian saringan secara rawak akan terus dipergiatkan sebagai langkah pencegahan, selain memberi kesan psikologi kepada pengguna jalan raya.

Muhammed Hasbullah berkata JSPT tidak berdepan kekangan signifikan dari segi peruntukan undang-undang atau prosedur siasatan dalam mengendalikan kes berkenaan.

Katanya, pihaknya turut bekerjasama rapat dengan Jabatan Peguam Negara bagi memastikan setiap kes yang dirujuk untuk pendakwaan diberi perhatian sewajarnya.

JSPT juga akan terus mempertingkat usaha advokasi keselamatan jalan raya melalui kerjasama dengan media serta pertubuhan bukan kerajaan.

Sementara itu, Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) Prof Madya Dr Siti Zaharah Ishak berkata Akta Pengangkutan Jalan 1987 wajar dipinda bagi membolehkan hukuman tambahan dikenakan terhadap pesalah memandu di bawah pengaruh alkohol.

“MIROS percaya hukuman sedia ada adalah berkesan, namun bagi mengekang trend kemalangan daripada terus meningkat, akta itu boleh dipinda untuk mengenakan hukuman tambahan selain penjara, denda dan hilang kelayakan lesen,” katanya.

Beliau berkata cadangan mewajibkan pesalah membayar ganti rugi kepada keluarga mangsa juga wajar dipertimbangkan.

Selain itu, penggunaan teknologi kenderaan seperti ignition interlock device (IID) dan sistem pengesanan pasif turut dicadang, termasuk terhadap pesalah kali pertama dan berulang.

Katanya, teknologi itu terbukti berkesan mengurangkan kemalangan akibat pemandu mabuk dengan menghalang kenderaan dihidupkan jika tahap alkohol melebihi had, selain membantu mengubah tingkah laku pemandu dalam jangka panjang.

Pada Isnin lalu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata kementeriannya sedang merangka pindaan lanjut terhadap Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987, termasuk mewajibkan pampasan kepada keluarga mangsa.

Pada 29 Mac lalu, seorang penunggang motosikal maut dalam kemalangan di Jalan Raya Barat, Klang, manakala dua hari kemudian satu lagi insiden di Jalan Pintasan Kajang–Semenyih menyebabkan enam individu termasuk seorang kanak-kanak cedera.

— Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS