Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Harga makanan dijangka naik 50 peratus, KPDN tetap kata masih terkawal
Diterbitkan:  Apr 2, 2026 6:08 PM
Dikemaskini: 10:08 AM

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) setakat ini tidak menerima sebarang laporan kenaikan harga secara mendadak di pasaran, dengan harga makanan masih dalam keadaan terkawal.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Dr Fuziah Salleh berkata KPDN sentiasa memantau rapat perkembangan harga barang dan perkhidmatan bagi memastikan pengguna tidak terbeban.

“Kita faham faktor geopolitik global yang memberi kesan kepada kos di seluruh dunia, namun kementerian sentiasa peka dan memantau harga setiap hari bagi memastikan tiada pihak mengambil kesempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian penutup Program Usahawan Muda Peringkat Kebangsaan 2026 di Bangi hari ini.

Fuziah berkata pihaknya juga akan sentiasa melakukan libat urus dengan pemain industri bagi mendapatkan maklum balas dan pandangan berhubung situasi semasa di pasaran.

Baru-baru ini, Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia memaklumkan pengusaha restoran menghadapi kenaikan kos operasi antara 10 hingga 30 peratus susulan tekanan ekonomi global.

Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Malaysia pula menjangkakan harga makanan boleh meningkat sehingga 50 peratus susulan kenaikan kos minyak dan operasi.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS