Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MCMC siasat 17 individu disyaki sebar maklumat palsu kenaikan harga bahan api, elektrik

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang menjalankan siasatan terhadap 17 individu disyaki menyebarkan maklumat berunsur palsu mengenai kenaikan harga bahan api dan tarif baharu elektrik yang tular menerusi platform media sosial.

Dalam kenyataan hari ini, MCMC memaklumkan setakat ini telah selesai merakamkan percakapan lapan individu termasuk lima kes hantaran berunsur palsu berkaitan isu kenaikan harga bahan api.

"Daripada lima kes itu, tiga suspek telah dirakam percakapan sebelum ini dan baki dua lagi telah selesai dirakam semalam.

"Terdapat tiga kes berkaitan tarif baharu elektrik manakala baki sembilan lagi suspek sedang dalam proses pemantauan lanjut dan akan dipanggil untuk rakaman percakapan dalam masa terdekat," menurut kenyataan itu.

Menurut MCMC, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

MCMC menegaskan memandang serius sebarang penyalahgunaan platform media sosial yang bertujuan mengelirukan orang ramai dengan penyebaran maklumat palsu.

"Penyebaran maklumat-maklumat palsu ini boleh menimbulkan suasana panik dan kegelisahan kepada pengguna," menurut kenyataan itu.

MCMC turut mengingatkan orang awam bahawa tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana individu yang didapati melanggar undang-undang sedia ada.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS