Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau membuka ruang seluas-luasnya kepada pembangkang serta mana-mana pihak yang berhasrat untuk berbincang bagi membantu kerajaan mencari jalan penyelesaian menangani krisis tenaga global.
Beliau menegaskan sebarang teguran atau komentar berhubung pengurusan ekonomi negara, terutama membabitkan isu kenaikan harga minyak dunia, seharusnya dilakukan berdasarkan ilmu serta fakta yang tepat, dan bukannya sekadar kritikan kosong.
"Krisis ekonomi bukan di tangan kita walaupun saya lihat kadang-kadang jeritan pembangkang itu canggih. Seluruh dunia digemparkan dengan krisis, bukan sahaja krisis minyak dan gas, krisis ekonomi, bukan sahaja isu Selat Hormuz, tetapi seluruh pengeluaran minyak itu terjejas.
“Harga minyak naik, dikritik saya dan kerajaan. Padahal sedaya upaya kita ikhtiar, RON95 itu di antara paling rendah di dunia… Untuk petani, nelayan, pengangkutan awam, semua diberikan subsidi, satu bulan RM6 bilion. Jadi inilah masa kita bincang secara baik (melibatkan) parti kerajaan, parti pembangkang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi Ramah Mesra Perdana Menteri Bersama Warga dan Bekas Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Clifford Kuala Kangsar, di Kuala Kangsar, hari ini.
- Bernama
