Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mas Ermieyati setuju bayar RM50,000 selesai kes fitnah - Asyraf Wajdi
Diterbitkan:  Apr 6, 2026 2:56 PM
Dikemaskini: 6:56 AM

Pengerusi Mara, Asyraf Wajdi Dusuki, hari ini memberitahu kes mahkamah di antara dia dengan bekas Ketua Wanita Bersatu, Mas Ermieyati Samsudin, sudah diselesaikan hari ini.

Melalui hantaran di media sosial, Asyraf Wajdi berkata, Mas Ermieyati bersetuju membayar sebanyak RM50,000 kerana mengeluarkan kenyataan yang dianggap bersifat fitnah.

Asyraf Wajdi yang juga Setiausaha Agung Umno berkata persetujuan penyelesaian berkenaan dicapai di Mahkamah Tinggi Melaka di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Isa Aziz Ibrahim.

Katanya, Mas Ermieyati mengakui dia ada mengeluarkan "kenyataan-kenyataan tidak benar dan berunsur fitnah" terhadap ahli politik terbabit serta Mara.

"Mas Ermieyati juga bersetuju memohon maaf secara bertulis, menarik balik, memadamkan semua hantaran video di semua platform media sosial beliau dan membayar ganti rugi sebanyak RM50,000 kepada Mara.

"Alhamdulillah, moga ini menjadi pengajaran berguna kepada semua agar bertanggungjawab dan tidak sewenangnya mengeluarkan kenyataan fitnah yang boleh menghancurkan reputasi dan institusi," katanya.

Pada Mei tahun lalu, Asyraf Wajdi memulakan prosiding mahkamah ke atas Mas Ermieyati selepas Ahli Parlimen Masjid Tanah itu memfitnahnya menghabiskan duit Mara dan tidak membiayai pelajar aliran latihan teknikal dan vokasional (TVET).

“Mula-mula saya ingat malas nak layan tapi sudah melampau dengan pelbagai fitnah yang dilemparkan. See you in court YB Mas!” katanya ketika itu.

Mas Ermieyati Samsudin

Mas Ermieyati bagaimanapun menyatakan yang dia tidak gentar dengan saman Asyraf Wajdi, namun mempersoal penggunaan peguam Mara bagi tujuan itu.

Mengulas lanjut keputusan dicapai hari ini, Asyraf Wajdi berkata, wang ganti rugi yang dibayar Mas Ermieyati itu tidak diambil bagi kegunaan sendiri.

Katanya, ia selaras dengan apa yang dijanjikan sebelum ini.

"Sebagaimana janji saya setiap sen RM50,000 wang ganti rugi tidak akan sesekali digunakan secara peribadi, bahkan saya sudah minta pengurusan Mara untuk memasukkan wang ganti rugi apabila diterima nanti ke dalam akaun Wakaf Mara untuk manfaat pelajar-pelajar miskin, daif dan anak yatim," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS