Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Iran tingkatkan serangan selepas amaran 'neraka' Trump
Diterbitkan:  Apr 6, 2026 4:15 PM
Dikemaskini: 8:15 AM

Iran melancarkan serangan baharu di seluruh Asia Barat pada Isnin dan mengancam tindak balas "memusnahkan", susulan amaran keras Presiden AS Donald Trump supaya Teheran membuka semula Selat Hormuz.

Israel, Kuwait dan Emiriah Arab Bersatu melaporkan mereka dihujani serangan peluru berpandu dan dron awal Isnin.

Menurut AFP, serangan itu berlaku ketika Teheran meningkatkan retorik terhadap Trump, dengan arahan pusat tentera Teheran memberi amaran tentang tindak balas yang "jauh lebih memusnahkan" jika musuhnya menyerang sasaran awam.

Amaran itu muncul beberapa jam selepas Trump mengancam untuk memusnahkan infrastruktur awam Iran, dan menuntut Teheran agar tunduk kepada tuntutannya supaya membuka semula Teluk itu untuk aktiviti perkapalan.

Tindakan Iran menyekat Selat Hormuz secara berkesan, yang merupakan laluan penting tenaga, mencetuskan kemarahan Trump yang pada Ahad menuntut selat itu dibuka semula,

“Buka semula, kamu bedebah gila, atau kamu akan hidup dalam neraka."

Dalam hantaran susulan yang ringkas, presiden itu juga menetapkan tarikh akhir baharu untuk Iran patuh: "Selasa, 8:00 malam" (0000 GMT Rabu).

Ketika penganut Kristian menyambut Easter, Trump mengulangi amaran serangan udara ke atas loji kuasa dan jambatan Iran, selepas meraikan penyelamatan seorang juruterbang yang cedera selepas jet pejuangnya terhempas di Iran.

Gambar-gambar Iran menunjukkan bangkai beberapa pesawat, tetapi Teheran tidak menafikan tentera AS berjaya menyelamatkan pegawai itu, yang berlindung di kawasan pergunungan ketika pasukan khas Amerika dan tentera Iran berlumba-lumba untuk mencarinya.

Trump berkata dalam hantaran Truth Social yang mengumumkan penyelamatan juruterbang itu bahawa dia akan mengadakan sidang akhbar pada Isnin.

Tiada tandingannya

Perang yang meletus pada 28 Feb dengan serangan maut AS-Israel ke atas Teheran, telah melanda negara-negara di Asia Barat dan menjejaskan ekonomi global.

Peluru berpandu Iran mengenai bandar-bandar Israel dan infrastruktur ekonomi di negara-negara Teluk, menyebabkan harga tenaga dunia melonjak.

Minyak dibuka lebih tinggi dalam dagangan awal di Asia, dengan penanda aras AS, West Texas Intermediate naik 1.86 peratus kepada AS$113.62 setong dan Brent melebihi AS$110.

Walaupun Trump memberitahu Fox News bahawa Iran "hampir" untuk mencapai perjanjian, penganalisis keselamatan Danny Citrinowicz berkata "prospek perjanjian yang dirundingkan dengan Iran, sekurang-kurangnya di bawah keadaan semasa, hampir tidak wujud."

"Selasa akan menjadi Hari Loji Kuasa, dan Hari Jambatan, semuanya digabungkan dalam satu, di Iran. Tiada apa yang akan menandinginya!" isytihar Trump, mendorong Teheran menuduhnya menerima arahan daripada Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu.

Speaker parlimen Iran, Mohammad Bagher Ghalibaf, dalam hantaran di media sosial berkata "seluruh rantau kita akan terbakar kerana kamu berkeras mengikut arahan Netanyahu."

Sekutu Iran, Rusia turut mengutuk ancaman Trump. Moscow berkata Washington harus kembali ke meja rundingan, menurut laporan Rusia mengenai panggilan terbaru Menteri Luar Sergey Lavrov dengan rakan sejawatannya dari Iran.

Ramai penduduk Teheran kelihatan tidak mempedulikan kecaman Trump, dengan golongan muda Iran masih menjalankan aktiviti harian seperti bersenam, bermain layang-layang dan berkelah di taman besar di barat bandar itu pada Ahad

Penyelamatan juruterbang AS

The New York Times melaporkan bahawa juruterbang AS yang diselamatkan itu adalah seorang pegawai sistem senjata, yang dilengkapi dengan pistol, suar dan peranti komunikasi sulit untuk berhubungan dengan penyelamat.

Dua daripada pesawat yang bertujuan untuk mengangkutnya dan penyelamatnya ke tempat selamat tersangkut di dalam Iran dan terpaksa dimusnahkan untuk mengelakkannya daripada jatuh ke tangan Iran, lapor The Times dan CBS.

Tentera AS menggunakan tiga pesawat lain untuk membawa keluar juruterbang itu dan penyelamatnya, menurut laporan. Tentera Iran berkata ia memusnahkan empat pesawat AS yang terlibat dalam operasi itu, yang menggunakan lapangan terbang terbiar.

Media Iran melaporkan lima orang terbunuh dalam serangan semasa operasi itu. Rakaman yang dikeluarkan oleh Kor Pengawal Revolusi Islam Iran menunjukkan bangkai pesawat Amerika yang hangus dan berasap bertaburan di kawasan padang pasir.

Iran mendakwa ia menembak jatuh jet pejuang itu dan kru sempat keluar menggunakan kerusi anjal, manakala media AS melaporkan hanya pesawat itu ditembak jatuh. Washington belum mengesahkan punca pesawat itu terhempas.

Negara-negara Teluk melaporkan gelombang serangan baharu dari Ahad hingga Isnin, dengan Kuwait berkata ia sedang berusaha untuk memintas bedilan peluru berpandu dan dron yang dilepaskan ke arah wilayahnya.

Emiriah Arab Bersatu juga berkata pada Isnin bahawa pertahanan udaranya bertindak balas terhadap serangan peluru berpandu dan dron. Ia berlaku selepas pihak berkuasa UAE di Sharjah berkata mereka sedang menangani "insiden" di pelabuhan utama Khor Fakkan susulan serangan Iran.

Tentera Israel juga berkata Isnin ini bahawa ia telah mengenal pasti gelombang baharu peluru berpandu yang dilancarkan dari Iran ke arah negara itu.

Penasihat presiden UAE Anwar Gargash memberi amaran kepada Iran bahawa menyasarkan jiran Arabnya "sebenarnya akan mengukuhkan peranan Amerika" sambil menambah UAE sedia untuk "menyertai sebarang usaha yang diketuai Amerika, usaha antarabangsa untuk menjamin pelayaran di Selat Hormuz."

'Pilih keamanan’

Di Iran, media tempatan melaporkan beberapa serangan ke atas kawasan perumahan di Teheran pada Isnin, manakala penyiar negeri berkata gangguan gas melanda sebahagian ibu kota selepas serangan ke atas sebuah universiti.

Tentera Israel berkata awal Isnin ia telah menyelesaikan gelombang serangan terhadap "sasaran rejim" di Teheran.

Di satu lagi barisan hadapan, Lubnan semakin terheret ke dalam konflik sejak Hizbullah yang disokong Iran menyambung semula serangan terhadap Israel. Israel membalas serangan dan menghantar tentera ke selatan Lubnan, dengan ketua tentera Leftenan Jeneral Eyal Zamir melawat ke sana pada Ahad dan berjanji untuk memperhebatkan serangan terhadap Hizbullah.

Pasukan pengaman PBB di Lubnan memberi amaran bahawa serangan oleh Israel dan Hizbullah berhampiran kedudukannya "berpotensi menarik serangan balas.

"Tentera Israel dan medik berkata peluru berpandu yang dilepaskan dari Iran mengenai sebuah bangunan kediaman di bandar utara Haifa, mencederakan empat orang. Peperangan itu menyelubungi sambutan Easter, dengan Pope Leo XIV menggunakan berkat Easter pertamanya sebagai pontif untuk menggesa para pemimpin supaya "memilih keamanan."


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS