Isteri seorang tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) merayu kepada kerajaan Indonesia supaya membantu membebaskan suaminya yang merupakan seorang rakyat republik itu.

Siti Norma Ismail berkata, suaminya - Abdullah Minyak Silam - telah ditahan di bawah ISA pada 14 Januari 2002 atas tuduhan menganggotai Jamaah Islamiyah (JI).

Ekoran penahanan tersebut, Kerajaan Malaysia juga telah membatalkan taraf pemastautin tetap Abdullah.

Rayuan tersebut terkandung dalam satu memorandum yang mahu diserahkan oleh Siti Norma (kiri) kepada Kedutaan Besar Republik Indonesia pagi tadi, yang dialamatkan kepada Menteri Hukum dan Hak Asasi Manusia Indonesia, Andi Mattalatta.

Siti Norma, yang ditemani oleh rombongan pegawai Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), bagaimanapun gagal menyerahkan memorandum tersebut kepada pegawai di kedutaan tersebut enggan menerimanya.

Pegawai kedutaan juga meminta wakil GMI supaya keluar dari pejabat kedutaan tersebut.

Rakyat Indonesia

Siti Norma - seorang rakyat Malaysia - dan rombongan GMI seramai enam orang itu, yang diketuai oleh Setiausaha GMI, E Nalini, tiba di kedutaan tersebut kira-kira jam 11 pagi untuk menyerahkan memorandum tersebut.

Menurut Nalini, pihaknya sudah membuat temujanji dengan pegawai kedutaan bagi menyerahkan memorandum tersebut.

Bagaimanapun, setelah kira-kira setengah jam menunggu, tiada seorang pun pegawai kedutaan yang datang menerima memorandum tersebut.

"Pada mulanya kami diberitahu seorang pegawai yang dikenali sebagai 'Pak Selamat' mahu menerima memorandum tersebut tetapi selepas 30 minit, kami diberitahu beliau ada urusan lain.

"Akhirnya memorandum tersebut diberikan kepada seorang pengawal keselamatan. Pengawal tersebut memberitahu, beliau tidak pasti sama ada memorandum itu akan diberikan kepada pihak atasan," kata Nalini (kanan) ketika ditemui di luar bangunan Kedutaan Indonesia.

Sementara itu, ketika bercakap dengan pemberitaa, Norma berkata, beliau mengambil keputusan menyerahkan memorandum kepada Kedutaan Besar Republik Indonesia kerana Abdullah Minyak merupakan rakyat Indonesia.

Dakwa diganggu SB

Bagaimanapun, beliau kecewa kerana pegawai kedutaan sendiri enggan menerima memorandum tersebut.

Dalam memorandum tersebut, selain Abdullah, terdapat tujuh lagi warga Indonesia yang sedang ditahan di bawah ISA

Mereka iaitu Shahrial @Syahrial Sirin, Ahmad Zakaria, Zakaria Samad, Terhamid Dahalan, Mahfudi Saifuddin, Mulyadi dan Ariffin.

Dalam memorandum tersebut , Siti Norma mendakwa, sepanjang tempoh penahanan suaminya, beliau dan seorang anaknya Muhammad Safwatullah Amjad hidup menderita, tertekan dan sentiasa diganggu oleh anggota cawangan khas (SB) Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Oleh itu saya merayu memohon jasa baik Tuan Yang Terhormat supaya pihak tuan dapat membuat tuntutan dari kerajaan Malaysia untuk membawa suami saya dan rakan-rakan beliau yang lain pulang ke sana serta dapat membebaskan mereak daripada penganiayaan dan penindasan hak asasi yang berlaku di Malaysia, lebih-lebih lagi memandangkan kerajaan Malaysia telah membatalkan taraf penduduk tetap beliau.

"Saya rela beliau dibawa pulang ke Indonesia dengan harapan beliau dapat hidup bebas dan mendapat kembali hak-hak beliau dari sudut kemanusiaan. Telah enam tahun beliau kehilangan segala-galanya, maka dengan itu saya rasa telah sampai masanya kerajaan Indonesia turut campur tangan dalam usaha untuk membebaskan serta membawa mereka pulang ke sana," kata memorandum itu lagi.