Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Selangor laksanakan dasar WFH mulai 15 April ini
Diterbitkan:  Apr 6, 2026 7:30 PM
Dikemaskini: 11:30 AM

Kerajaan Selangor mengumumkan beberapa langkah awal termasuk pelaksanaan dasar bekerja dari rumah (WFH) bagi penjawat awam bagi mengurangkan impak konflik Asia Barat terutamanya membabitkan isu bekalan tenaga serta kenaikan harga barangan.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata kerajaan negeri bersetuju untuk memulakan dasar WFH untuk Selasa sehingga Khamis setiap minggu bermula 15 April ini.

Katanya langkah itu diambil bagi menjimatkan penggunaan bahan bakar serta mengurangkan kesesakan jalan raya di samping mengukuhkan produktiviti pegawai.

Menurut Amirudin dasar itu akan disemak secara bulanan mengikut keperluan dan keberkesanan.

Katanya sektor swasta turut digalakkan untuk melaksanakan dasar WFH berdasarkan kesesuaian industri dan kerajaan negeri sedia membantu dari aspek adaptasi teknologi digital.

“Kerajaan negeri juga akan menghentikan urusan perjalanan rasmi ke luar negara bagi semua jabatan kecuali berkaitan urusan menggalakkan pelaburan dan pelancongan dari luar negara ke Selangor.

“Ini supaya ekonomi tempatan, industri sokongan serta peluang pekerjaan bagi rakyat Selangor dapat terus berlangsung.

"Di peringkat kerajaan negeri, setiap jabatan perlu mengkoordinasi usaha serta program dan bekerja dalam mod krisis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Amirudin juga berkata Selangor akan menyemak semula Belanjawan Negeri 2026 dengan memberikan fokus kepada kos sara hidup dan bantuan kepada rakyat terkesan, sokongan kepada industri, serta meneroka peluang seperti peralihan tenaga secara lebih pantas.

Untuk itu, katanya, Pasukan Petugas Khas Krisis Tenaga Selangor akan ditubuhkan melibatkan pakar dari bidang sosioekonomi, industri, tenaga, barang makanan, perbankan, dan akademia agar langkah lain yang diambil bakal meliputi setiap aspek penting dan bertepatan.

Menurut Amirudin, antara yang dipersetujui menganggotai pasukan khas itu ialah bekas Gabenor Bank Negara Muhammad Ibrahim sebagai pengerusi, Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia Universiti Kebangsaan Malaysia (Minda-UKM) Noor Azlan Ghazali, serta Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic Bhd, Mohamed Rafique Merican.

“Pasukan khas ini akan mencadangkan langkah segera mengurangkan kesan kepada rakyat serta merangka tindakan hingga tempoh setahun sekiranya perang ini berterusan.

“Kerajaan negeri akan mengumumkan langkah perlu diambil sebagai respons kepada isu bekalan dan kesannya kepada harga barang.

"Fasa pertama usaha mitigasi bagi rakyat Selangor akan diperkenalkan dalam tempoh dua minggu,” katanya.

Amirudin turut menyeru sifat kebersamaan rakyat Selangor untuk bersedia mengharungi cabaran yang akan dihadapi susulan konflik Asia Barat yang memberikan kesan khususnya kepada bekalan tenaga.

“Pada saat ini, krisis perang yang menutup Selat Hormuz memberikan kesan, antaranya kepada bekalan bahan tenaga penting untuk pengangkutan, baja dan urea bagi penghasilan makanan, serta kimia dan helium yang merupakan bahan utama di hospital mahupun pembuatan semikonduktor,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS