Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Serangan AS-Israel musnahkan sinagog di Tehran
Diterbitkan:  Apr 7, 2026 3:55 PM
Dikemaskini: 10:08 AM

Serangan Amerika Syarikat-Israel pada awal pagi Selasa "memusnahkan sepenuhnya" sebuah saumaah atau sinagog di Tehran, lapor agensi berita Mehr dan akhbar Shargh di Iran yang dipetik oleh AFP.

"Menurut maklumat awal, Saumaah Rafi-Nia... musnah sepenuhnya dalam serangan pagi ini," lapor Shargh.

Agama Yahudi merupakan salah satu agama minoriti yang diiktiraf secara sah di Iran, dan negara itu mempunyai komuniti kecil Yahudi, walaupun ramai anggotanya melarikan diri susulan revolusi Islam 1979.

Tiada angka rasmi yang tersedia untuk awam, namun dipercayai terdapat beberapa ribu penganut Yahudi di Iran.

Shargh menyifatkan saumaah itu sebagai "salah satu tempat paling penting untuk orang Yahudi Khorasan berkumpul dan meraikan sesuatu", merujuk kepada wilayah timur laut Iran itu.

Syiah merupakan agama majoriti di Iran, tetapi perlembagaan mengiktiraf Islam Sunnah, Zoroastrianisme, Yahudi dan Kristian sebagai mazhab minoriti, dengan setiap satunya mempunyai wakil di parlimen.

Perancis ulangi bantahan tegas terhadap serangan ke atas infrastruktur di Iran

Sementara itu, Anadolu Ajansi, memetik penyiar tempatan melaporkan Menteri Luar Perancis Jean-Noel Barrot mengulangi bantahan Perancis terhadap sebarang serangan ke atas infrastruktur awam dan tenaga di Iran.

Kenyataan itu dibuat susulan ancaman Amerika Syarikat (AS), memberi amaran tentang konflik tanpa kesudahan (vicious cycle).

Jean-Noel Barrot

"Kami terus menentang serangan terhadap infrastruktur awam dan tenaga, pertama kerana ia dilarang di bawah peraturan perang dan undang-undang antarabangsa," kata Barrot kepada penyiar France Info.

Dia memberi amaran bahawa serangan sedemikian boleh membuka "fasa baharu peningkatan balas dendam", mengheret rantau itu dan ekonomi global ke dalam konflik tanpa kesudahan yang membimbangkan.

"Untuk kepentingan kita sendiri, kita sudah melihat lonjakan harga bahan api. Jika infrastruktur tenaga di Iran menjadi sasaran, kita boleh menjangkakan tindakan balas daripada rejim Iran, memburukkan lagi keadaan yang sudah membimbangkan," kata Barrot.

Dia mengulangi kedudukan Perancis dan Eropah, berkata mereka mengelak terlibat dalam peperangan yang tidak mereka inginkan sambil berusaha mengehadkan kesannya dan menyokong usaha pengantaraan yang diketuai oleh negara-negara di rantau ini.

"Dari hari pertama, kami tidak menyokong campur tangan Israel-AS, yang tidak mempunyai objektif yang cukup jelas dan bercanggah dengan undang-undang antarabangsa," tambah Barrot.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS