Penduduk mahu nilai Tanah Kpg Baru sama seperti KLCC
Pemilik tanah Kampung Baru di ibu negara mahu harga tanah mereka dinilai mengikut pasaran semasa sebagaimana harga tanah di sekitar Kuala Lumpur City Center (KLCC) dan kawasan sekitarnya.
Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Astaman Abdul Aziz berkata, harga yang ditawarkan antara RM100 hingga RM200 sekaki persegi untuk tanah di Kampung Baru adalah terlalu rendah.
"Mereka membandingkan dengan nilai tanah di KLCC iaitu RM1,200 sekaki persegi sedangkan Kampung Baru terletak bersebelahan dengannya.

"Mungkin harga RM600 untuk sekaki persegi sudah berpatutan untuk tanah Kampung Baru," katanya kepada Malaysiakini dalam satu temubual di pejabatnya di ibu negara, Rabu lalu.
Astaman berkata, Kampung Baru mempunyai keluasan kira-kira 200 ekar iaitu tiga kali lebih besar daripada KLCC.
Kerajaan, menurutnya, sebelum ini cuba membangunkan Kampung Baru tetapi tidak berjaya.
Cadang k'jaan beli tanah
"Satu ketika ada pihak tertentu yang mahu membayar RM200 sekaki persegi untuk pengambilan tanah Kampung Baru tetapi tidak dipersetujui oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad.
"Dr Mahathir mencadangkan bayaran dinaikkan sehingga RM400 dan penduduk setuju tetapi ia senyap begitu sahaja.
"Akibatnya, pembangunan Kampung Baru ketinggalan sehingga sekarang walaupun kawasan sekitarnya begitu maju sekali," katanya.
Sementera itu, menurut sumber-sumber, Kampung Baru sukar dimajukan kerana banyak yang berminat untuk mengambil bahagian dalam pembangunan tersebut.
Menurut mereka lagi, beberapa tokoh politik Melayu di Kuala Lumpur mahu menguasai pembangunan Kampung Baru mengikut cara mereka tanpa mengambilkira kepentingan penduduk dan pemilik tanah.
Berhubung perkara tersebut, Astaman mencadangkan supaya kerajaan membeli tanah dengan harga semasa tetapi membayar hanya separuh secara tunai.
Terbabit dalam pembangunan
Manakala, katanya separuh lagi mensyaratkan mereka untuk membeli bangunan atau harta benda yang dibangunkan di Kampung Baru supaya mereka terbabit sama dengan pembangunan di kawasan tersebut.
Kampung Baru, kata Astaman, pada mulanya merupakan tanah Penempatan Pertanian Melayu (MAS) iaitu hanya untuk diduduki oleh orang Melayu sahaja.
Ini bermakna, katanya, mereka tidak boleh menjual tanah tersebut kepada pihak lain.
Bagaimanapun, pada 1900 geran hak milik telah dikeluarkan dan ini bertentangan dengan tujuan Kampung Baru diwujudkan.
"Apabila Wilayah Persekutuan diwujudkan pada 1974, Kampung Baru telah dimasukkan di dalam pentadbiran Wilayah Persekutuan dan Datuk Bandar Kuala Lumpur dilantik sebagai Pengerusi MAS.
"Sebelum ini Pengerusi MAS dipegang oleh Menteri Besar Selangor," katanya lagi.