Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tentera AS kekal di sekitar Iran hingga Iran patuhi perjanjian - Trump
Diterbitkan:  Apr 9, 2026 1:30 PM
Dikemaskini: 5:56 AM

Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Rabu berkata kapal tentera dan pesawatnya akan kekal di sekitar Iran dan mengancam bahawa AS akan mula "menembak" melainkan Tehran mematuhi sepenuhnya perjanjian yang dicapai dengan Washington, lapor Reuters.

“Semua kapal, pesawat dan anggota tentera AS, beserta peluru tambahan, senjata... akan kekal berada di dan sekitar, Iran, sehingga perjanjian sebenar dicapai dipatuhi sepenuhnya," kata Trump di platform Truth Social miliknya.

“Jika atas apa-apa sebab ia tidak dipatuhi, yang mana sangat mustahil, maka tembakan akan bermula, lebih besar, lebih hebat dan lebih kuat daripada yang pernah dilihat sebelum ini,” kata presiden itu.

Iran sebelum ini pada Rabu berkata adalah "tidak munasabah" untuk meneruskan rundingan bagi memeterai perjanjian damai kekal dengan AS selepas Israel membedil Lubnan dengan serangan paling hebat pada Rabu, yang mengorbankan ratusan orang.

Kedua-dua pihak dilihat mempunyai perbezaan ketara mengenai program nuklear Iran, dengan Trump menyatakan Iran bersetuju untuk menghentikan pengayaan uranium, manakala speaker parlimen Iran Mohammed Bager Qalibaf berkata negara itu dibenarkan untuk terus memperkayakan uranium di bawah syarat gencatan senjata.

"Perkara itu dipersetujui sejak sekian lama, dan di sebalik segala retorik palsu yang mendakwa sebaliknya - Tiada senjata nuklear dan Selat Hormuz akan kekal dibuka dan selamat," tambah Trump dalam hantaran Truth Social pada lewat Rabu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS