PM isytihar Thaipusam cuti umum di KL, Putrajaya
Thaipusam kini hari cuti umum bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya mulai sambutan perayaannya tahun ini Rabu depan - 23 Januari, demikian diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini.
Menurut beliau, kerajaan membuat keputusan itu sebagai menghormati permintaan masyarakat India dan penganut agama Hindu.
"Lagipun, setiap kali sambutan Thaipusam, jalan aya di Kuala Lumpur sesak sekali," katanya.
Thaipusam kini hari cuti umum bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya mulai sambutan perayaannya tahun ini Rabu depan - 23 Januari, demikian diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini.
Menurut beliau, kerajaan membuat keputusan itu sebagai menghormati permintaan masyarakat India dan penganut agama Hindu.
"Lagipun, setiap kali sambutan Thaipusam, jalanraya di Kuala Lumpur sesak sekali," katanya.
Pengumuman beliau itu disambut tepukan gemuruh lebih 21,000 ahli dan penyokong MIC yang menghadiri majlis pemimpin bersama rakyat di Stadium Badminton Kuala Lumpur petang tadi.
Sebelum ini, Thaipusam merupakan cuti umum bagi Selangor, Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan dan Johor.
Masyarakat India, terutama di Kuala Lumpur, telah lama mengharapkan kerajaan mengisytiharkan Thaipusam sebagai cuti umum dan ketika merasmikan Pesta Ponggal di Jalan Masjid India malam tadi, Perdana Menteri berjanji untuk menimbangkan permintaan mereka.
Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu merakamkan penghargaannya bagi pihak kaum India atas keputusan kerajaan itu.
Bincang dengan MB, KM
Beliau memberitahu Bernama sejurus selepas pengumuman itu bahawa MIC mengharapkan Thaipusam dijadikan cuti umum bagi seluruh negara, namun parti itu tetap gembira walaupun ia hanya melibatkan Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Bagi negeri-negeri lain, Samy Vellu berkata beliau akan berbincang dengan menteri besar dan ketua menteri mengenainya.
Cuti umum itu akan membolehkan lebih ramai penganut agama Hindu, khususnya dari Selangor dan Kuala Lumpur, berkumpul di Batu Caves untuk menyambut Thaipusam tahun ini, katanya.
"Saya sendiri tidak perlu menghadiri mesyuarat Kabinet Rabu ini kerana Putrajaya juga bercuti. Maka saya akan berada di Batu Caves nanti," kata Menteri Kerja Raya itu.
Sudah lebih sedekad MIC memohon Thaipusam dijadikan cuti umum.
Samy Vellu berkata dia telah membincangkan perkara itu dengan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Zulhasnan Rafique pada mesyuarat Jemaah Menteri minggu lalu supaya Thaipusam diisytiharkan sebagai cuti umum, setidak-tidak di Kuala Lumpur.

