Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, MIC merupakan kawan baik beliau dan juga Barisan Nasional (BN) sejak dahulu lagi.

Perdana Menteri berkata, MIC bersama Umno dan MCA adalah rakan yang sama-sama menuntut kemerdekaan negara 50 tahun lalu.

"MIC salah satu parti yang setia kepada Perikatan dan apabila BN ditubuhkan, parti itu masih setia kepada BN.

"Oleh kerana itu, kerajaan sedia membantu MIC supaya terus berjuang di dalam BN," katanya ketika berucap di majlis sepetang bersama Perdana Menteri di Stadium Badminton Kuala Lumpur di Cheras dekat ibu negara petang tadi.

Hadir sama Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu; Pengerusi BN Wilayah Persekutuan, Datuk Zulhasnan Rafique dan Naib Ketua Wanita, Datuk Shahrizat Abdul Jalil.

Majlis tersebut anjuran MIC Wilayah Persekutuan sebagai tanda sokongan masyarakat India khususnya MIC kepada Perdana Menteri dan dihadiri kira-kira 15,000 penyokong MIC dari seluruh negara.

Abdullah berkata, oleh kerana itu setiap masalah dan cabaran perlu dihadapi bersama tanpa mengira parti.

Muafakat hadapi p'raya

"Keputusan dibuat secara muafakat setelah mendapat persetujuan semua termasuk dalam menghadapi pilihanraya," katanya lagi.

Perdana Menteri berkata, beliau merasa senang hati dengan sokongan yang ditunjukkan oleh ahli dan penyokong MIC kepada kerajaan dan BN.

Dalam ucapannya, Abdullah juga mengumumkan, kerajaan akan menghapuskan kemiskinan tegar membabitkan semua kaum pada 2010.

Katanya, selepas 2010 tidak ada lagi kaum yang tertinggal dari arus pembangunan.

"Untuk itu kerajaan menubuhkan sebuah jawatankuasa bagi menghapuskan kemiskinan tegas membabitkan semua kaum di negara ini.

"Saya tidak mahu rakyat miskin sehingga anak-anak tidak boleh belajar" katanya.

Penyokong kuat

Sementara itu, Samy Vellu dalam ucapannya berkata, jentera pilihanraya MIC sudah bersiap sedia bagi menghadapi pilihanraya umum ke-12.

Katanya, MIC bertekad untuk menghapuskan semua pembangkang di dalam negara ini.

"Saya meminta masyarakat India tidak terpedaya dengan pembangkang yang mendakwa kerajaan tidak berbuat apa-apa untuk kaum tersebut sejak 50 tahun lalu.

"Kita (masyarakat India) mesti menyokong kuat kepada Perdana Menteri dan BN seperti dibuktikan sejak 50 tahun lalu," katanya.

Samy Vellu berkata, setiap kali beliau membawa masalah masyarakat India kepada Perdana Menteri, Abdulalh sentiasa ada masa untuk mencari jalan bagi menyelesaikannya.