mk-logo
Berita
Akar umbi PKR gesa kerajaan perkenal kuota subsidi diesel
Diterbitkan:  Apr 13, 2026 12:03 PM
Dikemaskini: 4:04 AM

PKR Cabang Titiwangsa meluluskan usul menggesa Kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk “menstruktur semula bantuan diesel” bagi meringankan beban pengguna.

Usul tersebut diluluskan dalam Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) cabang berkenaan yang berlangsung di Luala Lumpur, semalam.

Ketua Cabang PKR Titiwangsa, Syed Badli Shah Syed Osman berkata penstrukturan itu perlu merangkumi pengenalan kuota subsidi diesel untuk kenderaan persendirian.

"PKR Titiwangsa amat prihatin terhadap rungutan ramai berikutan kenaikan ketara harga minyak diesel yang serba sedikit akan menjejaskan pelbagai industri dan memuncakan kenaikan harga barang.

"Kami berpandangan yang kenaikan harga minyak khususnya diesel ini dapat dikurangkan dengan penstrukturan semula bantuan termasuk memberi fokus kepada pengguna industri kecil dan persendirian," katanya dalam kenyataan.

Selain kuota subsidi, usul tersebut turut mencadangkan pengurangan kadar cukai jalan sebanyak 50 peratus bagi pemilik kenderaan diesel persendirian dan komersial.

Kuota petrol 300 liter

Syed Badli Shah turut menyatakan harapan agar kerajaan segera mengembalikan kuota 300 liter bagi program Budi Madani sebaik sahaja krisis di Timur Tengah berakhir.

Walaupun mengutarakan cadangan perubahan dasar, dia  menegaskan bahawa PKR Titiwangsa akan terus berdiri teguh menyokong kepimpinan Anwar.

Mesyuarat agung tersebut dirasmikan oleh Menteri Komunikasi merangkap ketua penerangan PKR, Fahmi Fadzil.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS