Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rakyat AS akan rindu harga minyak AS$5 tak lama lagi - Speaker Parlimen Iran

Speaker Parlimen Iran Mohammad Bagher Qalibaf pada Ahad membayangkan bahawa harga bahan api di Amerika Syarikat (AS) boleh meningkat lagi susulan ketegangan yang semakin memuncak antara AS dan Iran, lapor Anadolu Ajansi (AA).

“Nikmatilah harga semasa di pam. Dengan apa yang disebut sebagai ‘sekatan’ itu, tidak lama lagi anda akan merindui harga minyak US$4 hingga US$5,” kata Qalibaf menerusi hantaran di platform X.

Beliau turut melampirkan tangkap layar yang menunjukkan harga petrol di stesen berhampiran Rumah Putih antara kira-kira US$4.10 hingga US$5.80 segelen.

Hantaran itu dilihat sebagai respons terhadap kenyataan Presiden AS Donald Trump pada awal Ahad bahawa harga minyak dan petrol mungkin kekal tinggi sehingga pilihan raya pertengahan penggal November ketika perang AS-Israel dengan Iran berterusan.

“Ia mungkin begitu, atau kekal sama, atau mungkin naik sedikit, tetapi sepatutnya sekitar paras yang sama,” kata Trump kepada Fox News pada Ahad.

Hantaran Qalibaf itu dibuat sebelum Markas Pusat AS mengumumkan bahawa ia akan mula kuatkuasakan sekatan ke atas semua trafik perkapalan yang masuk dan keluar dari pelabuhan Iran mulai Isnin.

Perkembangan itu susulan pusingan terbaharu rundingan Iran-AS di Islamabad, yang berakhir tanpa sebarang persetujuan.

Kedua-dua pihak meninggalkan Islamabad dengan perbezaan utama masih belum diselesaikan, sambil masing-masing memberi isyarat bahawa usaha diplomatik lanjut diperlukan.

Rundingan itu adalah sebahagian daripada usaha gencatan senjata rapuh selama dua minggu untuk menamatkan perang AS-Israel ke atas Iran yang bermula pada 28 Feb.

- Bernama-Anadolu


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS