Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kuota 90 peratus bumiputera ke matrikulasi kekal, kata Anwar
Diterbitkan:  Apr 13, 2026 4:06 PM
Dikemaskini: 8:06 AM

Kuota 90 peratus Bumiputera dalam kemasukan ke program matrikulasi akan dikekalkan sebagai usaha memastikan akses pendidikan lebih adil dan inklusif buat seluruh pelajar di negara ini, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, keputusan itu selari dengan prinsip mengelakkan kesenjangan antara golongan kaya dan miskin dalam bidang pendidikan terus melebar dan pendemokrasian pendidikan bagi memberi peluang kepada semua lapisan masyarakat, khususnya golongan luar bandar.

"Jadi, dalam hal ini yang paling pintar anak orang kaya di bandar tidak disisihkan, 90 peratus kuota (pelajar Bumiputera) dikekalkan supaya jangan berlaku kesenjangan yang terus melebar di antara golongan kaya dan miskin," katanya.

"Kalau kita hanya tumpu kepada sekolah terbaik dan golongan elit, majoriti anak-anak dari keluarga petani, nelayan dan pekebun akan terus ketinggalan.

"Justeru, projek ini walaupun bermula dengan RM27 juta iaitu projek segera, tetapi bila siap projek ini besar.

“Jadi kalau kita boleh segerakan, kalau bila lengkap, konsepnya konsep moden," katanya pada Majlis Pecah Tanah Kolej Matrikulasi Terengganu di Bukit Payong, di Marang, hari ini.

Anwar dalam ucapannya juga berkata langkah itu juga penting bagi memastikan kemudahan pendidikan berkenaan dapat dimanfaatkan oleh pelajar secepat mungkin, selaras dengan usaha kerajaan memperkukuh akses kepada pendidikan berkualiti di seluruh negara.

"Yang memohon dari Terengganu ke program matrikulasi, sudah melebihi 7,000 orang. Malah, dari segi ruang pendidikan matrikulasi belum ada di negeri ini, jadi maknanya keperluan kolej ini tak boleh dipertikaikan,” katanya.

Turut hadir Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dan Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh.

Kolej Matrikulasi Terengganu menerima peruntukan awal sebanyak RM27 juta dan akan mempunyai kapasiti sehingga 3,000 pelajar serta dilengkapi kemudakan makmal moden, asrama pelajar selain kemudahan akademik lengkap.

Sementara itu, Anwar berkata kerajaan juga akan menumpukan kepada pelaksanaan program dan projek pendidikan yang boleh menjamin masa depan golongan muda.

Katanya, Jemaah Menteri bulan lepas turut memutuskan pelajar yang mendapat 10A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini, secara automatik diberikan ruang untuk pendidikan lebih tinggi, misalnya di kolej matrikulasi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS