Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Langgar lari polis trafik: Inspektor ada masalah mental ditahan
Diterbitkan:  Apr 14, 2026 9:22 AM
Dikemaskini: 1:22 AM

Pemandu yang ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes langgar lari seorang anggota polis trafik pada Jumaat lepas disahkan sebagai seorang pegawai kanan polis berpangkat inspektor yang menghidap masalah mental.

Ketua Polis Kuala Lumpur Fadil Marsus berkata lelaki berusia 40 tahun itu dikesan menghidap skizofrenia dan sedang menjalani cuti perubatan khas, selain dalam proses untuk dibersarakan atas syor lembaga perubatan.

Katanya tangkapan ke atas suspek itu dibuat pada kira-kira jam 3.45 petang semalam di Jalan Empat, Chan Sow Lin selepas anggota Unit Kawalan Lalu Lintas Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur mengesan kenderaannya di sekitar Jalan Cheras.

Menurut Fadil, pengesanan itu dibuat hasil risikan dan semakan kamera litar tertutup (CCTV).

"Cubaan menahan kenderaan itu bagaimanapun gagal apabila pemandu terbabit bertindak melarikan diri secara berbahaya.

"Dalam cubaan meloloskan diri, suspek turut merempuh beberapa kenderaan awam termasuk sebuah kenderaan utiliti pelbagai guna (MPV) polis sebelum akhirnya berjaya dikepung dan ditahan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Fadil berkata ujian pernafasan alkohol yang dijalankan ke atas suspek menunjukkan keputusan negatif, manakala ujian saringan air kencing akan dilaksanakan bagi melengkapkan siasatan.

Dia memaklumkan setakat ini tujuh kenderaan dilaporkan mengalami kerosakan dalam insiden rempuhan itu, melibatkan lima kereta awam, sebuah MPV polis dan sebuah motosikal milik polis.

Menurut Fadil, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Dalam kejadian pada 10.47 malam Jumaat lalu Konstabel Roslan Salleh, 27, mengalami kecederaan di tangan, belakang kepala dan rusuk selepas dilanggar dari arah belakang oleh kenderaan suspek.

Ketika itu Roslan sedang mengawal lalu lintas di Jalan Sultan Yahya Petra.

Polis turut menyeru mana-mana pemilik kenderaan lain yang terjejas dalam insiden rempuhan tersebut supaya segera tampil membuat laporan di balai polis trafik berhampiran bagi membantu siasatan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS