Parti Rakyat Malaysia (PRM) menasihatkan Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua supaya "tidak berlagak angkuh dan sempit fikiran" apabila membuat ulasan.

Sebaliknya, kata Naib Presiden PRM, Koh Swee Yong, Tian perlu bertindak sebagai "pekerja politik yang realistik, praktikal dan jujur, seperti objektik cogan-kata politik baru yang dilaung-laung oleh PKR".

Koh menegaskan demikian ketika mengulas satu laporan media yang memetik Tian Chua sebagai berkata bahawa dari segi undang-undang, ahli PRM yang tidak menyertai parti baru (Parti Keadilan Rakyat), tidak dibenarkan mengguna nama PRM untuk bertanding dalam pilihanraya.

Tian dilaporkan berkata demikian ketika ditanya mengenai gesaan Presiden PRM, Hassan Karim kepada parti-parti pembangkang lain supaya memberi laluan untuk calon PRM bertanding dalam pilihanraya akan datang, bagi mengelak pertandingan tiga penjuru dengan calon Barisan Nasional (BN).

Mengulas lanjut, Koh juga menasihati Tian supaya "menyimpan kata-kata di atas sehingga beliau menjadi Menteri Hal Ehwal dalam Negeri serta Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri kelak".

"Jika tidak, kata-kata seumpama ini akan dijadikan gosip dan bahan jenaka di kedai kopi dan bahan perbualan," kata Koh dalam satu kenyataan hari ini.

Sebenarnya, kata beliau, PRM menerima sepucuk surat daripada Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS) bertarikh 28 Februari 2005 meminta parti itu menghantar laporan penyata tahunan dari tahun 2001 hingga 2004.

'Jangan campurtangan'

"Hal ini timbul kerana bekas pemimpin PRM berhenti membuat laporan kepada ROS apabila Kongres Nasional PRM 2001 meluluskan usul percantuman dengan Parti Keadilan Nasional," jelasnya.

Justeru, katanya, ahli-ahli PRM tampil untuk menghantar laporan tahunan kepada ROS apabila mereka mendapat tahu mengenai perkara tersebut.

"Mereka melantik jawatankuasa pusat yang baru dan menyusun semula jentera parti untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan pucuk pimpinan sebelumnya. Usaha ini diterima oleh ROS dan PRM bergiat semula," katanya.

Koh juga mendakwa, Tian Chua dan pucuk pimpinan Keadilan, termasuk bekas pemimpin dan bekas ahli PRM, cuba melenyapkan nama PRM dan "mereka telah berkali-kali dinasihati supaya jangan campurtangan dalam halehwal dan urusan dalaman PRM".

Bagaimanapun, dakwa Koh, mereka enggan menerima realiti dan hakikat bahawa PRM adalah sebuah parti politik yang sah di bawah Akta Pertubuhan Malaysia.

Beliau turut merujuk kepada laporan akhbar Sin Chew Jit Poh pada 27 Oktober 2004 berhubung kenyataan bekas Presiden PRM Dr.Syed Husin Ali apabila ditanya oleh pemberita akhbar berkenaan mengenai wawancara dengan beliau (Koh), selaku ketua PRM bahagian Selayang, yang mengatakan bahawa PRM masih belum dibubarkan.

Menurut Koh, Dr Syed Husin dalam jawapannya berkata "tunggulah sampai proses percantuman kedua-dua parti mantap, PRM akan mengadakan kongres untuk mengumumkan pembubaran."

Parti yang sah

Katanya, kongres yang dijanji tidak pernah diadakan. PKR mengadakan majlis perhimpunan perwakilan nasional pertamanya pada 19 Disember 2003 di Ipoh, Perak.

"Jadi, PRM tidak dibubarkan. PRM tidak bercantum dengan Keadilan. Percantuman hanya pengumuman secara unilateral iaitu Keadilan saja yang mengumumnya," tambahnya.

Sehubungan itu, kata Koh, PRM mengingatkan Tian, Anwar dan Keadilan serta memaklumkan rakyat bahawa PRM masih wujud dan aktif dan didaftarkan di bawah Akta Pertubuhan Malaysia.

"Oleh itu, PRM masih kekal sebagai parti politik berdaftar. PRM telah wujud selama 53 tahun dan akan terus wujud sebagai sebuah parti berhaluan kiri yang ada ahli dan juga pucuk pimpinan serta cita-cita untuk negara ini," tegasnya.

Menurut Koh lagi, sama ada diiktiraf oleh Keadilan atau parti-parti yang bersekutu dengannya ataupun tidak, PRM tetap bergiat dan bertanding dalam pilihanraya atas nama dan lambang PRM.