Radzi: Mesyuarat BN tidak bincang persiapan p'raya
Ramai yang menjangka mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) yang berlangsung di Putrajaya hari ini adalah untuk membincangkan persiapan parti itu bagi menghadapi pilihanraya umum akan datang.
Bagaimanapun, apa yang berlaku adalah sebaliknya kerana dalam mesyuarat selama kira-kira tiga jam di Pejabat Perdana Menteri, tidak menyentuh langsung tentang persiapan menghadapi pilihanraya umum yang dijangka diadakan Mac ini.
Menyuarat tersebut dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga Pengerusi BN mulai jam 11.50 pagi dan berakhir jam 3 petang di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.

BN mempunyai 14 parti komponen dan mesyuarat hari ini dihadiri oleh semua pemimpin komponen BN tersebut.
Ketika ditemui di luar bangunan Pejabat Perdana Menteri, Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk M Kayveas berkata, isu mengenai pilihanraya atau persiapan BN menghadapi pilihanraya umum langsung tidak dibincang dalam mesyuarat BN hari ini.
Sebaliknya, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu, antara isu utama yang dibincangkan ialah isu-isu semasa, isu nasional, isu pendidikan dan isu kemiskinan.
"Isu pilihanraya tidak dibincang langsung. Perdana Menteri kelihatan gembira dalam mesyuarat hari ini.
Mesyuarat biasa
"Pemimpin parti komponen ada mengemukakan pandangan dan cadangan mengenai isu-isu tersebut kepada Perdana Menteri," katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad berkata, mesyuarat BN hari ini hanya membincangkan perkara biasa sahaja.
Ketika ditanya lebih lanjut, beliau yang juga setiausaha agung Umno berkata: "Saya hendak makan, kerana belum makan lagi."
Kerana menjangkakan ia merupakan mesyuarat terakhir BN sebelum pengumuman pilihanraya umum, berpuluh-puluh wartawan dan jurugambar media berkumpul di Pejabat Perdana Menteri sejak jam 11.30 pagi lagi.
Pegawai keselamatan tidak membenarkan wartawan berkumpul di tingkat tiga, tempat sidang media biasa diadakan, sebaliknya meminta menunggu ke tempat letak kereta VIP.
Pada jam 12.30 tengah hari, kira-kira 35 wartawan kelihatan berkumpul di tempat letak kereta sebelum pegawai keselamatan mengarahkan mereka meninggalkan tempat tersesbut sejam kemudian.
Berikutan itu, wartawan berkumpul di pintu masuk utama Pejabat Perdana Menteri.
Kira-kira jam 3.05 minit petang, kereta yang dinaiki Perdana Menteri kelihatan keluar dari pejabat tersebut dan diikuti oleh kenderaan pemimpin komponen BN lain.