Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tahanan lolos: Lip Eng tawar wang, Rayer persoal SOP polis
1

Seorang ahli parlimen DAP menawarkan ganjaran wang tunai RM5,000 kepada sesiapa yang dapat menyalurkan maklumat sehingga tertangkapnya seorang suspek pesalah seksual kanak-kanak yang melarikan diri dari premis Penjara Sungai Buloh minggu lalu.

Dalam kenyataan hari ini, Lim Lip Eng turut membangkitkan kebimbangan terhadap insiden tersebut, terutamanya dakwaan pihak polis gagal mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang betul semasa mengangkut tahanan.

"Bagaimana tahanan di bawah jagaan penuh boleh lari begitu sahaja semasa dipindahkan? Bagaimanakah kesilapan sedemikian boleh berlaku dalam persekitaran keselamatan tinggi?

"Video tular yang tersebar di dalam talian nampaknya menunjukkan tahanan terbabit tidak digari semasa melarikan diri.

"Jika apa yang dilihat itu benar, ia menimbulkan persoalan yang serius dan membimbangkan. Jika tidak, pihak berkuasa mesti segera memberi penjelasan," katanya.

Dia yang merupakan Ahli Parlimen Kepong berpendapat kelewatan polis memberikan penjelasan berhubung isu tersebut tidak boleh diterima, dan pihak yang bertanggungjawab mesti dikenakan tindakan.

Lim Lip Eng

Menegaskan kekecewaannya, Lim berkata, adalah tidak boleh diterima apabila tahanan terbabit masih belum dapat diberkas walaupun kejadian tersebut sudah berlaku selama seminggu.

Justeru, kata Lim, dia menawarkan wang tunai sebanyak RM5,000 untuk sesiapa yang dapat memberikan maklumat yang boleh dipercayai sehingga membawa kepada penangkapan suspek.

Sementara itu Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer, turut mempersoalkan prosedur polis dalam kejadian itu dengan mengatakan bahawa tertuduh sepatutnya digari pada setiap masa.

Dia juga membangkitkan isu tentang cara pegawai polis mengawal suspek.

"Ini adalah SOP. Daripada rakaman CCTV jelas tahanan terbabit tidak digari dan bebas untuk melarikan diri.

"Kenapa? Polis mesti menyiasat perkara ini," katanya.

RSN Rayer

Turut mendapat perhatian Rayer ialah kedudukan anggota polis yang dilihat berada jauh dari belakang Black Maria yang membawa tahanan terbabit.

Katanya, keadaan itu tidak sepatutnya berlaku dan agak pelik kerana sepatutnya polis mengawal bahagian belakang kenderaan pengangkut tahanan berkenaan.

Lim dan Rayer mengulas rakaman CCTV yang telah tular di media sosial, didakwa menunjukkan suspek - warga Pakistan, Muhammad Hassan - melarikan diri dari tahanan polis di kawasan lapang Penjara Sungai Buloh selepas menghadiri prosiding perbicaraan Shah Alam.

Rakaman itu menunjukkan sekumpulan tahanan diturunkan dari Black Maria polis sebelum seorang daripada mereka dilihat tiba-tiba melarikan diri.

Dua daripada pegawai polis pengiring mengejar, manakala seorang lagi dilihat melakukan percubaan serupa tetapi berhenti selepas beberapa langkah.

Jabatan Penjara pada Isnin berkata mereka menyedari video tular itu dan sedang menyiasat kesahihannya.

Pada hari yang sama, Ketua Polis Selangor Shazeli Kahar berkata pihaknya sedang menyiasat sama ada kecuaian anggota polis yang bertugas menyebabkan tahanan terbabit memboloskan diri.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
1
ADS