Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau sekeluarga sedih dengan pemergiaan peguam Christopher Fernando malam Sabtu lalu.

Ketika ditemui di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, tempat suruhanjaya diraja menjalankan siasatan terhadap video Lingam, Anwar berkata, beliau kehilangan bukan sahaja seorang peguam tetapi seorang sahabat kepada keluarganya.

Fernando, 66, (kiri) adalah salah seorang peguam yang membela Anwar ketika bekas timbalan perdana menteri itu didakwa atas tuduhan salahguna kuasa dan liwat selepas dipecat dari Umno dan kerajaan pada September 1998.

Walaupun Anwar dihukum penjara bagi tuduhan salahguna kuasa, tetapi sabitan dan hukuman bagi tuduhan liwat telah dibatalkan oleh Mahkamah Persekutuan.

“Beliau sentiasa bersama kami ketika melalui masa yang paling sukar. Beliau begitu meyakinkan dan tiada cacat celanya ketika mengendalikan kes di mahkamah dan saya terhutang budi kepadanya," kata Anwar sambil menambah keluarganya kehilangan seorang rakan karib.

“Beliau sentiasa menggunakan peluang yang ada untuk melawat saya di (penjara) Sungai Buloh setiap minggu dan berusaha bersungguh-sungguh untuk memberi galakan kepada saya," katanya.

Anwar (kanan) tidak dapat menghadiri majlis pengkebumian Fernando kerana beliau berada di Kota Kinabalu semalam.

Bagaimanapun, Anwar menziarahi keluarga Fernando sebaik sahaja pulang dari Kota Kinabalu semalam.

Fernando, yang nama Islamnya Aris Rizal, meninggal dunia selepas menjalani pembedahan pintasan jantung di Institut Jantung Negara (IJN) malam Sabtu lalu.

Fernando mendirikan rumahtangga dengan Maria Kamaruddin dan mempunyai dua anak perempuan Marissa dan Rina.