Tahanan ISA nafi dana Hindraf diselewengkan
Setiausaha Hindraf, T Vasanthakumar menafikan bahawa sumbangan orang yang diterima oleh pergerakan itu, telah diselewengkan oleh penasihat undang-undangnya, P Uthayakumar.
Vasanthakumar (foto), yang kini ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), juga menafikan telah membuat laporan polis mengenainya di Kem Tahanan Kamunting, Perak pada 10 Januari lalu.
Kelima-lima pemimpin Hindraf yang ditahan di bawah ISA juga telah mengeluarkan kenyataan menerusi peguam masing-masing, menafikan bahawa mereka telah berpecah.
Setiausaha Hindraf, T Vasanthakumar menafikan bahawa sumbangan orang yang diterima oleh pergerakan itu, telah diselewengkan oleh penasihat undang-undangnya, P Uthayakumar.
Vasanthakumar (foto), yang kini ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), juga menafikan telah membuat laporan polis mengenainya di Kem Tahanan Kamunting, Perak pada 10 Januari lalu.
Kelima-lima pemimpin Hindraf yang ditahan di bawah ISA juga telah mengeluarkan kenyataan menerusi peguam masing-masing, menafikan bahawa mereka telah berpecah.
“Laporan tersebut dibuat sebagai rekod mengenai siapa yang memegang kesemua wang yang diterima dari orang ramai itu. Ia bukan tuduhan penyelewengan terhadap Uthayakumar,” kata Vasanthakumar melalui mesej yang dibawa oleh isterinya, K Vikneswary, 35.
Beliau memberitahu
Malaysiakini
semalam: “Beliau memberitahu saya bahawa laporan tersebut dibuat bagi melindungi mereka daripada dakwaan polis bahawa mereka mahu mendapatkan sumbangan dana dari pertubuhan-pertubuhan pengganas," katanya.
Vikneswary berkata, rancangan mereka adalah untuk memperjelaskan bahawa sumbangan yang diterima dari rakyat tempatan bukan untuk digunakan bagi sebarang dakwaan aktiviti-aktiviti keganasan, tetapi untuk aktiviti kemasyarakatan.
“Beliau terperanjat apabila (laporan berita menyebut) bahawa beliau telah membuat laporan polis terhadap Uthayakumar. Vasanthakumar mahu menegaskan bahawa beliau hanya menamakan Uthayakumar dalam laporan tersebut sebagai satu strategi supaya kelima-lima tahanan terbabit tidak ditangkap dan didakwa membiayai keganasan,” katanya tanpa mengulas lanjut.
“Kelima-lima mereka bersetuju bahawa laporan seumpama itu perlu dibuat dan suaminya dipilih untuk membuatnya.
“Beliau mahu semua orang tahu bahawa mereka tetap bersatu - tidak wujud sebarang pertelagahan seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak. Dan bahawa laporan itu dibuat demi keselamatan mereka sendiri pada masa depan," tambah Vikneswary.
Laporan polis
Jumaat lalu, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Ismail Omar dilaporkan sebagai berkata polis menerima aduan bahawa wang kutipan Tabung Hindraf berjumlah kira-kira RM700,000 telah disalahgunakan oleh pihak tertentu untuk kepentingan peribadi.
"Laporan polis (yang diterima itu) menyebut beberapa orang yang telah diamanahkan untuk menerima dan menguruskan sumbangan orang ramai berjumlah lebih kurang RM700,000 telah menyalahgunakan wang kutipan tersebut untuk tujuan peribadi," katanya dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun, menurut Bernama, kenyataan itu tidak menyebut pihak yang membuat aduan itu.
Ismail dilaporkan berkata wang itu dikatakan hasil kutipan semasa ceramah, forum dan upacara sembahyang khas bagi tujuan membiayai kerja amal serta membantu keluarga lima pemimpin Hindraf yang ditahan di bawah ISA 13 Disember lalu.
Ismail juga dilaporkan berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial telah diarah menyiasat perkara itu.
Vasanthakumar, Uthayakumar dan tiga orang lagi pemimpin Hindraf - M Manoharan, R Kenghadharan dan V Ganabathirau - ditahan pada 13 Disember kerana dituduh mengancam keselamatan negara. Mereka sedang menjalani tahanan selama dua tahun.
‘Bukan pegawai polis’
Vikneswary seterusnya menafikan bahawa suaminya adalah seorang pegawai polis dari cawangan khas yang ditugaskan untuk melemahkan Hindraf, seperti yang didakwa oleh sesetengah penyokong selepas berita mengenainya disiarkan.
“Ia tidak benar sama sekali. Jika beliau seorang (pegawai) polis, beliau tentunya tidak ditahan di Kamunting. Beliau melepaskan jawatan sepenuh masanya di sektor swasta untuk memberi tumpuan kepada Hindraf. Beliau bersungguh-sungguh untuk membantu masyarakat terbabit," tambahnya.
Vikneswary berkata, empat pemimpin Hindraf yang ditahan di bawah ISA telah memulakan mogok lapar mereka, kecuali Uthayakumar.
“Uthayakumar tidak sihat dan beliau ada kencing manis. Mereka berjaya memujuknya supaya jangan membahayakan kesihatan dirinya dengan menyertai mogok lapar tersebut," katanya.
Mogok lapar selama lima hari itu bermula jam 7.30 pagi semalam sehingga 7.00 malam Sabtu ini.
Menurut Vikneswary lagi, kesihatan suaminya juga tidak baik tetapi beliau masih mahu mengadakan mogok lapar tersebut.
“Beliau menghadapi tekanan yang besar. Saya dapat lihat mentalnya terseksa, tetapi dia tetap tabah. Kawan-kawannya di sana turut membantunya," katanya lagi.
Satu permohonan habeas corpus telah difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi pihak kelima-lima tahanan berkenaan dan dijadual didengar Khamis ini.
“Mereka yakin keputusannya akan memihak kepada mereka," kata Vikneswary.
Rayuan kepada PM
Vikneswary juga merayu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya membebaskan suaminya.
“Tolonglah bebaskan dia. Dia bukan penjenayah. Dia bukan pengganas. Dia hanya terbabit dalam perjuangan untuk masyarakat (India Malaysia). Saya melawatnya Ahad lalu. Dia kelihatan letih dan tidak sihat. Saya bimbangkan dirinya. Dia tidak bersalah," katanya.
“Saya harap perdana menteri akan menunjukkan belas kesihan dan membebaskannya. Penahanannya merupakan satu mimpi ngeri bagi saya dan dua anak perempuan kami," tambahnya.
Menurut Vikneswary, anak-anak mereka yang berusia tiga dan lima tahun, merindui bapa mereka dan mahu bersamanya.
“Saya tidak dapat menjelaskan kepada mereka mengapa beliau ditahan. Saya terpaksa berbohong kepada mereka yang beliau sedang dirawat di hospital. Tetapi bila kami melawatnya Ahad lalu, anak sulung kami hairan mengapa terdapat anggota polis di situ," katanya.
Ketiadaan Vasanthakumar juga menyebabkan beliau terpaksa memikul beban kewangan.
"Beliau sumber pendapatan utama kami. Tanpa beliau, keadaan amat sukar sekali," katanya.
Vikneswary melawat Vasanthakumar setiap hari Ahad dan kecewa kerana tidak dapat membawa makanan masakannya untuk suaminya itu.
“Mereka tidak membenarkankami membawa makanan kepada mereka. Malah, kami tidak boleh berbual secara sendirian kerana ada orang bersama kami," tambahnya.
“Saya rindukannya. Saya perlukan suami saya. Anak-anak saya perlukan bapa mereka. Saya harap perdana menteri akan membebaskan beliau bersama empat lagi pemimpin Hindraf yang ditahan itu," katanya. Berita asal

