Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
APAD keluar surat tunjuk sebab pada syarikat bas ekspres
Diterbitkan:  Apr 18, 2026 12:01 PM
Dikemaskini: 4:01 AM

Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) mengeluarkan surat tunjuk sebab (STS) kepada syarikat Billion Stars Express Sdn Bhd susulan rakaman tular yang memaparkan pemanduan berbahaya oleh seorang pemandu bas ekspres milik syarikat berkenaan baru-baru ini.

APAD dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan mereka memandang serius kejadian berkenaan kerana boleh membahayakan keselamatan penumpang serta pengguna jalan raya lain.

Menurut kenyataan itu, siasatan sedang dijalankan terhadap bas ekspres bernombor pendaftaran BSB 4999 mengikut Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) serta melibatkan seskyen 22(1)(b)(iii) terkait kelakuan pemandu dan konduktor kenderaan perkhidmatan awam.

“Siasatan turut melibatkan seksyen 23(1)(b) berkaitan kegagalan pengendali berlesen dan pekerjanya memberikan keutamaan tertinggi kepada keselamatan penumpang serta pengguna jalan raya.

“Selain itu, siasatan juga dijalankan di bawah Perkara 7, Syarat Am Keperluan Tahap Perkhidmatan (KTP) yang menetapkan pengendali berlesen bertanggungjawab memastikan pekerja dan pemandu sentiasa menjaga tingkah laku semasa beroperasi,” katanya.

Menurut APAD, STS telah dikeluarkan pada 16 April lalu selaras dengan Seksyen 27 Akta 715 yang memberi kuasa kepada agensi itu untuk mengambil tindakan terhadap pemegang lesen yang didapati melanggar syarat operasi.

Orang ramai boleh menyalurkan aduan berkaitan salah laku atau pelanggaran undang-undang dalam perkhidmatan pengangkutan awam melalui talian aduan Kementerian Pengangkutan seperti hubungi talian 1-800-88-7723 atau WhatsApp 019-290 7723.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS