Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Semua akan gembira - Trump yakin temui jalan penyelesaian
Diterbitkan:  Apr 21, 2026 12:11 PM
Dikemaskini: 4:11 AM

Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Isnin berkata rundingan dengan Iran akan dimuktamadkan “dan semua orang akan gembira”, di tengah-tengah kebuntuan yang dilihat berlaku dalam rundingan itu, lapor Anadolu Ajansi memetik penyiar tempatan.

“Kami telah melakukan kerja yang hebat, dan kami akan menyelesaikannya dan semua orang akan gembira,” kata Trump dalam wawancara telefon dengan seorang hos radio konservatif.

Donald Trump

Kenyataan itu dibuat hanya beberapa jam selepas Yang Dipertua Parlimen Iran Mohammad Bagher Ghalibaf berkata Tehran menolak rundingan dengan AS “di bawah bayangan ancaman”.

Ghalibaf mengkritik Trump susulan keputusannya mengenakan sekatan ke atas Selat Hormuz, yang menurut Tehran merupakan pelanggaran terhadap gencatan senjata yang sedia rapuh.

Yang Dipertua Parlimen itu berkata menerusi platform media sosial X bahawa Trump cuba menggunakan ancaman untuk menjadikan rundingan itu sebagai medan memaksa Iran tunduk kepada kehendak AS atau bagi mewajarkan tindakan perang yang diperbaharui.

Beliau berkata Iran telah menyiapkan pilihan ketenteraan baharu sekiranya gencatan senjata dua minggu yang diusahakan Pakistan berakhir minggu ini.

Ditanya mengenai bantahan Iran terhadap rundingan itu, Trump berkata, “Mereka akan berunding dan jika tidak, mereka akan berdepan masalah yang tidak pernah mereka lihat sebelum ini.”

“Dan saya harap mereka akan membuat perjanjian yang adil, dan mereka akan membangunkan semula negara mereka, tetapi apabila mereka berbuat demikian, mereka tidak akan memiliki senjata nuklear.

"Mereka tidak akan mempunyai akses kepada, dan tiada peluang untuk memiliki senjata nuklear,” kata Trump.

Trump mengumumkan pada Ahad bahawa wakil AS akan berlepas ke Islamabad untuk rundingan, namun Tehran setakat ini belum mengesahkan penyertaannya secara rasmi serta menuntut sekatan itu ditarik balik.

Kenyataan itu dibuat ketika AS terus mengekalkan sekatan ke atas kapal yang keluar masuk pelabuhan Iran sejak minggu lalu.

Tehran menyifatkan sekatan itu sebagai pelanggaran terhadap gencatan senjata yang sedang berkuat kuasa.

Trump turut memberi amaran pada Ahad bahawa AS akan menyasarkan infrastruktur Iran sekiranya Tehran gagal menerima syarat Washington untuk menamatkan konflik itu, sekali gus menambah kebimbangan pasaran ketika gencatan senjata dijadual tamat pada petang Selasa waktu Washington.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS