Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Banyak hotspot banjir berjaya ditangani, tapi masih ada kekangan - Exco S'gor
Diterbitkan:  Apr 21, 2026 6:25 PM
Dikemaskini: 10:25 AM

Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor Ng Suee Lim berkata masalah banjir terus menjadi keutamaan kerajaan negeri dan banyak "hotspot" ataupun kawasan kerap banjir di negeri itu telah berjaya diselesaikan.

Katanya, pelabagai langkah diambil kerajaan bagi mengatasai banjir di negeri itu termasuk mengatasai banjir kilat, termasuk projek tebatan banjir.

"Kerajaan negeri sentiasa peka, sentiasa mengambil langkah dan inisiatif yang terbaik untuk mengatasai banjir dan pengurusan di pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Namun, oleh kerana kekangan dan sebagainya, ada kelewatan dan sedikit masalah di lapangan. Tetapi kita tetap mengambil fokus yang sepantas mungkin untuk kita selesaikan masalah banjir di negeri Selangor.

"Banyak ‘hotspot’ telah diselesaikan, banyak laporan-laporan telah dikongsikan bersama namun masih ada sedikit kekangan di lapangan, kita cuba perbaiki dalam masa terdekat dari masa ke semasa, (supaya) dapat elak masalah banjir daripada berterusan membelenggu rakyat, menyusahkan rakyat," katanya seperti dipetik Media Selangor.

Semalam, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan dukacita terhadap kegagalan berterusan kerajaan negeri menangani isu banjir yang masih berlarutan walaupun pelbagai nasihat telah diberikan sebelum ini.

Baginda bertitah, isu banjir bukan perkara baru malah telah berpuluh kali ditegaskan agar diselesaikan segera, termasuk mencadangkan supaya kerajaan negeri merujuk kepakaran luar seperti dari Belanda bagi mendapatkan penyelesaian terbaik.

Bagaimanapun menurut baginda, nasihat tersebut seolah-olah tidak dipedulikan dan diibaratkan seperti 'mencurah air ke daun keladi' apabila masalah itu masih berlaku sehingga kini.

Susulan titah baginda, Pemuda PAS Selangor hari ini tampil membidas kerajaan negeri Selangor dengan menyifatkan isu banjir di negeri itu bukan lagi perkara bermusim.

Ketua Pemuda PAS Selangor Mohamed Sukri Omar berkata, data menunjukkan nilai kerugian banjir di Selangor meningkat lebih dua kali ganda dalam tempoh setahun walaupun trend kerugian di peringkat nasional menunjukkan penurunan.

Apa yang lebih membimbangkan, data yang ada menunjukkan bahawa ketika nilai kerugian banjir di peringkat Malaysia menurun, Selangor pula mencatatkan peningkatan yang ketara.

"Keadaan ini memberi isyarat jelas bahawa negeri ini masih berdepan kelemahan yang serius dari sudut pengurusan, mitigasi, kesiapsiagaan dan pelaksanaan dasar berkaitan banjir," katanya.

Sementara itu, Ng berkata kerajaan juga telah menyalurkan peruntukan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi menyelesaikan isu banjir selain mengadapatasi teknologi terkini.

"Ada projek (tebatan banjir) masih berjalan belum nampak hasil, kita kena ambil sedikit masa. Tebatan banjir apabila siap nanti saya yakin ia akan memberi impak yang baik dan mengurangkan masalah banjir," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS