Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
RTM hentikan siaran animasi Cleopatra in Space
Diterbitkan:  Apr 22, 2026 12:01 PM
Dikemaskini: 4:01 AM

RTM bertindak menghentikan siaran satu siri animasi selepas PAS mengkritiknya kerana didakwa mempromosikan fahaman LGBTQ+.

Dalam kenyataan dikeluarkan Bahagian Perhubungan Awam Jabatan Penyiaran Malaysia, RTM memberitahu stesen penyiaran kerajaan itu mengambil maklum pandangan yang dikemukakan berhubung siri animasi Cleopatra in Space.

Katanya siaran yang dirujuk itu disiarkan stesen TV2 RTM pada jam 9 pagi 18 April dan 19 April lalu.

“Susulan daripada aduan tersebut, RTM telah menghentikan sepenuhnya siaran siri animasi berkenaan.

“Pada masa yang sama siasatan dalaman yang menyeluruh turut dijalankan,” katanya.

Terdahulu Dewan Ulama PAS Pusat mengecam tayangan animasi tersebut dan mempertikaikan kaedah RTM membuat pemilihan siaran.

Ketuanya, Ahmad Yahaya, berkata ia bukanlah kali pertama RTM dikesan berbuat demikian kerana tayangan yang memaparkan elemen sebegitu pernah berlaku pada tahun lalu.

Menurut Jabatan Penyiaran Malaysia, sebagai stesen penyiaran awam negara RTM sentiasa komited dan berpegang teguh kepada prinsip menyediakan kandungan program yang berkualiti, selamat, dan mematuhi sensitiviti masyarakat, agama, serta norma budaya tempatan.

“RTM merakamkan ucapan terima kasih kepada penonton yang prihatin serta sentiasa

memberikan maklum balas yang membina demi penambahbaikan mutu siaran kami,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS