Radio Televisyen Malaysia (RTM) menerima kecaman daripada PAS selepas saluran TV2 menyiarkan siri kartun berjudul Cleopatra in Space yang didakwa mengandungi unsur LGBTQ+.
Dalam satu kenyataan, Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Ahmad Yahaya, mempersoalkan cara stesen televisyen milik kerajaan itu memilih kandungan siarannya.
Ahmad berkata, ia merupakan kali kedua isu seumpama itu berlaku.
Kali pertama, katanya, RTM menyiarkan siri animasi Santiago of the Seven Seas – yang juga didakwa mengandungi unsur serupa – pada tahun lalu.

“Apakah Menteri Komunikasi mahupun penerbit rancangan tidak membuat tapisan yang ketat lagi terperinci dalam isu ini?
“Sedangkan kita harus sedar bahawa strategi bahu penyebaran ideologi LGBT secara besar-besaran digerakkan melalui rancangan kartun kanak-kanak.
“Pelbagai kajian yang dibuat menggambarkan gelombang serangan LGBT di peringkat antarabangsa menggunakan cerita kartun kanak-kanak.
“Dua karakter LGBT yang mendominasi cerita-cerita kartun yang berunsur LGBT ini adalah watak gay dan lesbian,” katanya.
Justeru Ahli Parlimen Pokok Sena itu menggesa RTM dan kerajaan agar lebih berhati-hati terhadap usaha menyemai pengaruh LGBTQ+ serta melaksanakan tapisan lebih ketat terhadap program kartun, khususnya yang diimport dari luar negara.
Sementara itu RTM memberitahu mereka sudah menghentikan siaran siri animasi tersebut.
